Tuesday, May 6, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    ABDB raikan pelajar cemerlang

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mei – Dengan hasrat untuk memberikan galakan dan motivasi kepada para pelajar untuk meneruskan usaha mereka dalam mencapai kejayaan dalam bidang akademik, seramai 104 anak cemerlang Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) diraikan dan menerima anugerah bersempena Hari Ulang Tahun ABDB ke-56 yang berlangsung di Auditorium, Akademi Pertahanan ABDB, hari ini.

    Seramai 60 orang daripada mereka menerima anugerah cemerlang, 37 orang menerima anugerah penghargaan dan tujuh orang lagi menerima hadiah pencapaian akademik terbaik.

    Penyampaian anugerah disempurnakan oleh Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah.

    Penyampaian anugerah itu diharap akan menyuntik semangat para penerima serta memberi motivasi dan galakan kepada anak-anak anggota ABDB yang lain untuk mencapai keputusan yang lebih cemerlang pada masa akan datang.

    Turut hadir ialah pemerintah-pemerintah tentera, pengarah-pengarah tentera, pegawai-pegawai kanan dan para ibu bapa serta penjaga pelajar yang diraikan di majlis berkenaan.

    Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Mohd Tawih menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima yang diraikan.
    Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Mohd Tawih menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima yang diraikan.

    Pengerusi Majlis, Mejar Alinah binti Husin berkata bahawa jumlah penerima yang diraikan dalam majlis berkenaan menunjukkan peningkatan dan ia merupakan satu kemajuan yang positif berkat daripada kerja keras para penerima dan sokongan berterusan para ibu bapa dan penjaga mereka.

    “Ini merupakan usaha dan bimbingan daripada ibu bapa serta penjaga dalam memastikan kejayaan anak-anak di samping mendukung matlamat negara untuk melahirkan generasi yang berwawasan.

    “Tanpa mengenal erti penat lelah, kesibukan di tempat bekerja, mereka tetap mengutamakan pembelajaran anak-anak agar sentiasa dalam pemantauan dan penjagaan yang terbaik.”

    Beliau turut berkata bahawa anugerah itu merupakan satu penghargaan yang amat bermakna bagi para penerima dan berharap ia boleh menjadi pembakar semangat bagi mereka untuk terus tekun belajar, bermotivasi dan rajin berusaha meraih kejayaan dalam bidang akademik dan demi masa depan mereka.

    Pada majlis penganugerahan itu, Awang Muhammad Faris Hafiy @Muhammad Syafiq Khairi bin Aide telah dipilih sebagai penerima Anugerah Cemerlang Tempat Pertama bagi Peperiksaan Brunei-Cambridge GCE (BC-GCE) Peringkat ‘A’ atas kejayaannya memperoleh 5 ‘A’; Dayang Nur Farahiya Husna binti Ali Omar mendapat Anugerah Cemerlang Tempat Pertama bagi Peperiksaan BC-GCE Peringkat ‘O’ dengan mendapat 10 ‘O’; Dayang Nuha Nadzirah binti Abdullah Mohd Salleh menerima Anugerah Cemerlang Tempat Pertama bagi Peperiksaan SPUB memperoleh Gred 4 Mumtaz (A*), 2 Mumtaz (A) dan 1 Jayid Jidan (B) dan Dayang Amni Nurafiqah Nabihah binti Mohammad Handry menerima Anugerah Cemerlang Tempat Pertama bagi Peperiksaan SSSRU dengan mendapat Pangkat 1, Agregat 5.

    Mejar Alinah ketika menyampaikan kata alu-aluannya di majlis berkenaan.
    Mejar Alinah ketika menyampaikan kata alu-aluannya di majlis berkenaan.
     Antara para penerima bersama ibu bapa dan penjaga mereka di majlis berkenaan.
    Antara para penerima bersama ibu bapa dan penjaga mereka di majlis berkenaan.
    Awang Muhammad Faris Hafiy bergambar bersama ayahnya, Pegawai Waran II Aide.
    Awang Muhammad Faris Hafiy bergambar bersama ayahnya, Pegawai Waran II Aide.

    Awang Muhammad Faris Hafiy ketika ditemui oleh Media Permata selepas majlis berkenaan menyatakan rasa penghargaan dan terima kasih atas sokongan serta dorongan daripada ibu bapa dan keluarga serta rakan-rakan sekolah terutama juga para guru yang banyak mendidiknya untuk terus cemerlang dalam bidang pendidikan.

    Mengulas mengenai dengan rahsia di sebalik kejayaannya itu, beliau berkata bahawa ia adalah berkat dan sokongan daripada ibu bapa, keluarga, guru-guru dan rakan-rakannya serta juga dedikasi dan komitmen untuk berjaya dalam pelajaran.

    Di samping itu, beliau berkata adalah amat penting untuk mengamalkan pengurusan masa yang baik serta bijak dalam membahagikan masa bukan sahaja untuk pelajaran tetapi dalam pelbagai kegiatan harian.

    Beliau menyatakan bahawa hasratnya adalah untuk terus menabur khidmat bakti kepada masyarakat pada masa akan datang dan memilih untuk melanjutkan pelajarannya di dalam bidang perubatan di peringkat universiti. Awang Muhammad Faris Hafiy berkata anugerah yang diterimanya itu akan menjadi sebagai pembakar semangat padanya untuk terus bekerja keras di masa akan dating.

    Sementara itu, ayah kepada Awang Muhammad Faris Hafiy, Pegawai Waran II Aide bin Haji Osmar merakamkan perasaan gembira dan bangga dengan pencapaian yang diperoleh anaknya serta berharap ia akan menjadi sebagai contoh kepada adik-adiknya untuk belajar dengan lebih gigih lagi bagi meraih kejayaan dalam bidang pendidikan.

    Majlis itu merupakan salah satu aktiviti tahunan yang diselitkan dalam kegiatan kemasyarakatan yang diadakan setiap tahun bersempena dengan Hari Ulang Tahun ABDB.

    Ia juga sebagai penghargaan yang diberikan kepada anak-anak anggota ABDB yang telah memperoleh pencapaian yang cemerlang dalam peperiksaan awam bagi 2016.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda