Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JULAI – Seramai lapan orang saudara-saudara baharu yang memeluk agama Islam antara tahun 2024 hingga 2025 diraikan dalam satu majlis khas anjuran Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), yang berlangsung di Surau Al-Huda, Pangkalan Tentera Laut Muara, hari ini.
Majlis itu bertujuan menghargai dan menyambut perjalanan kerohanian para saudara baharu sekali gus memperlihatkan sokongan padu daripada pihak ABDB terhadap anggota-anggotanya yang memilih jalan hidup Islam.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan. Turut hadir ialah ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif ABDB, pegawai-pegawai kanan, wakil-wakil dari Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), warga Kementerian Pertahanan serta keluarga anggota yang diraikan.
Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dari Surah Al-Mu’minun ayat 1 hingga 11 oleh Pembantu Pengajian Islam dan Perkembangan Al-Quran, Pejabat Tarbiyyah Agama, Jabatanarah Agama ABDB (JAMA’AT), 52977 Lans Koperal Zainul Ariffin bin Haji Haminuddin.
Acara diteruskan dengan laungan Asmaul Husna, Selawat Tafrijiyyah, Dikir Marhaban serta upacara menabur bunga rampai oleh tetamu kehormat dan para jemputan.
Seterusnya, para saudara baharu menerima cenderahati sebagai tanda penghargaan dan sokongan moral daripada ABDB. Majlis turut diserikan dengan bacaan Doa Khusus oleh Pemangku Pengarah JAMA’AT, Leftenan Kolonel Abdul Mujib bin Haji Japar.
Majlis berakhir dengan sesi bergambar ramai, solat Fardu Asar berjemaah dan Selawat Qiam, menandakan penutup yang penuh keberkatan.




