Monday, February 17, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    ABDB tampil dinamik dan berdaya saing hadapi cabaran

    Oleh Haniq Raffael

     

    BERKAT kesepaduan dan komitmen seluruh rakyat dan agensi-agensi kerajaan, serta peranan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang berkesan, negara kita sentiasa berada dalam suasana aman dan sejahtera.

    Kemantapan angkatan tentera adalah didukung oleh anggota-anggotanya yang mencukupi dan berkualiti, lantas ke arah itu, ABDB perlu mempunyai strategi pengambilan sumber manusia yang proaktif, yang boleh menarik minat para belia yang berkelayakan dan celik teknologi.

    Aspek-aspek disiplin dan integriti juga perlu ditekankan sebagai elemen penting dalam pengurusan sumber manusia. Seluruh warga tentera hendaklah memperkukuhkan semangat cintakan institusi, sambil menjaga imej dan nama baik ABDB, sekali gus bagi menjayakan Wawasan Brunei 2035.

    Sehubungan itu juga pada tahun ini Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB yang bertemakan ‘Bersama Menjayakan Wawasan Negara’, yang sekali lagi jatuh pada bulan Ramadan yang mubarak ini, diharap akan dapat memperkasa jiwa dan kerohanian setiap anggotanya, yang berlandaskan nilai-nilai teras ABDB, iaitu Taqwa, Setia, Berani dan Profesional.

    Pada tahun ini, ABDB genap mencecah usianya yang ke-57 tahun, usia yang setentunya sudah begitu matang dan dalam tempoh waktu itu ia telah banyak melakar sejarah yang sangat membanggakan sehinggalah ke hari ini. Sejak penubuhannya pada tahun 1961, begitu banyak perkembangan yang jelas dicapai oleh ABDB. Pada usianya yang ke-57 tahun ini nescaya ABDB semakin matang bertambah hebat dan semakin tangkas dalam menghadapi pelbagai cabaran dan apa jua kemungkinan.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam merupakan modal peranan bagi rakyat Baginda dan juga anggota ABDB.

    Era baharu

    Institusi pertahanan negara telah mengorak langkah memasuki era baharu sejurus selepas Negara Brunei Darussalam mencapai kemerdekaan penuh pada 1 Januari 1984, apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam memperkenankan penubuhan Kementerian Pertahanan dan penyusunan semula ABDB, di mana Baginda juga adalah Pemerintah Tertinggi ABDB.

    Demi mencapai pertahanan yang jitu, latihan ketenteraan diadunkan bersama ilmu akademik adalah amat penting. Kekuatan ketenteraan di daratan, lautan dan udara menjadi begitu penting bagi memastikan benteng pertahanan negara sentiasa dalam keadaan kukuh. Bilangan keanggotaan yang ramai dan peralatan terkini sahaja tidak mencukupi jika ABDB tidak terus melibatkan diri dalam pelbagai siri latihan sama ada di peringkat dalam negara mahupun luar negara.

    Peranan pusat-pusat latihan ketenteraan amat penting demi meningkatkan profesion ketenteraan ke tahap yang disegani, termasuk menerusi latihan-latihan bersama negara-negara jiran.

    Perancangan perolehan kelengkapan pertahanan juga penting bagi meningkatkan keupayaan pertahanan negara yang dari hari ke hari kian mencabar. Perolehan inventori persenjataan yang canggih perlu disokong oleh peningkatan ilmu pengetahuan dan kemahiran ketenteraan. Ini boleh terlaksana dengan adanya program pembangunan sumber manusia seperti program pendidikan dan latihan yang dinamik, profesional serta berterusan.

    Bagi tujuan tersebut, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah mempersiapkan negara melalui Kementerian Pertahanan dengan terus memberikan dan menyediakan prasarana serta kemudahan-kemudahan latihan yang terbaik kepada anggota pertahanan negara, khususnya kepada pegawai kadet iaitu dengan menubuhkan Sekolah Pegawai Kadet yang baharu di Kampung Tanah Jambu, yang telah dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada hari Khamis, 28 April 2016, yang lebih dikenali dengan Akademi Pertahanan ABDB.

    Kenangan semasa Sambutan Hari Ulang Tahun Askar Melayu Diraja Brunei pada tahun 1967, yang kini dikenali sebagai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

    Matlamat utama akademi ini ialah sebagai satu ‘centre of excellence’ yang cemerlang dan dikenali serta mampu untuk melahirkan pemimpin-pemimpin tentera yang berwibawa dan berkaliber tinggi, di mana di penempatan yang baharu ini, latihan dan pembelajaran akan dapat dilaksanakan dalam suasana yang lebih kondusif dan moden. Di samping untuk melahirkan pemimpin-pemimpin tentera yang berwibawa dan berkaliber yang mampu menanai tanggungjawab besar dan siap sedia untuk berhadapan dengan cabaran-cabaran yang lebih mencabar pada masa akan datang iaitu menepati misi dan tujuan Akademi Pertahanan ABDB.

    Tanggungjawab yang besar

    Selaku benteng kepada keselamatan dan keamanan, ABDB akan sentiasa waspada dan berpandangan jauh terhadap masa depan pertahanan dan keselamatan negara. Sesungguhnya nikmat keamanan negara yang kita kecapi hari ini bukanlah sesuatu yang mudah dicapai apatah lagi ia merupakan hasil perjuangan dan pengorbanan para pahlawan tanah air yang sanggup mempertarungkan jiwa raga demi melihat keamanan di bumi tercinta ini.

    Tugas dan tanggungjawab ABDB sangat mencabar sama ada tentera darat, laut dan udara. Mereka memainkan peranan masing-masing dalam menjaga keselamatan dan keamanan negara dengan menjaga sempadan, meronda dan memantau keutuhan sempadan daripada pencerobohan dan sebarang anasir jahat. Sesungguhnya tugas sebagai tentera adalah amat mulia. Tugas mempertahankan agama dan keutuhan wilayah negara amat besar ganjarannya. Ia adalah tugas keagamaan dan tanggungjawab kenegaraan.

    Selaku rakyat yang cintakan negara, sama-samalah kita menanam semangat kenegaraan dan perjuangan yang tinggi dalam diri masing-masing dan jangan sesekali hanya menyerahkan tanggungjawab berkenaan kepada anggota tentera saja.

    Setiap orang berperanan dalam menjaga keselamatan Negara Brunei Darussalam dan mengukuhkan kepercayaan di kalangan pelbagai masyarakat. Dengan cara ini, kita lebih kuat dan bersatu padu, meskipun terdapat anasir-anasir yang cuba memecah-belahkan kita.

    Untuk itu, kita sangat berterima kasih kepada ABDB kerana telah dapat melaksanakan amanah dan menjalankan tugas dalam menjaga dan mengekalkan keamanan di negara kita ini.

    Selamat menyambut Ulang Tahun ABDB ke-57 dan sama-samalah kita berdoa semoga anggota ABDB akan sentiasa mendapat rahmat dan hidayah serta sentiasa mendapat pertolongan dan perlindungan daripada Allah S.W.T jua.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda