BANDAR SERI BEGAWAN, 30 DIS – Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat telah menerima alat-alat kelengkapan makmal COVID-19 dari Jabatan Pertahanan Kerajaan Australia pada majlis penyerahan yang berlangsung di Kompleks Perubatan Bolkiah Garison hari ini.
Alat-alat kelengkapan berkenaan diserahkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Tiffany McDonald.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, PYT Tiffany McDonald mengakui usaha Brunei dalam pengurusan COVID-19 dan menyedari peranan ABDB dalam memberikan tindak balas melalui pendekatan whole-of-nation terhadap kerangka ujian COVID-19 Brunei.
Menekankan semula lawatan kerja Puan Yang Terutama ke makmal sementara ABDB pada awal bulan lalu, beliau berharap kelengkapan baharu berkenaan akan membantu dalam mewujudkan makmal tetap di Kompleks Perubatan Bolkiah Garison.
Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah menyatakan penghargaannya dan mengalu-alukan lebih banyak hubungan dua hala antara komuniti perubatan tentera kedua-dua negara melalui ADMM Plus Experts’ Working Group in Military Medicine yang dipengerusikan bersama oleh Australia dan Brunei pada 2020-2023 dan melalui Persidangan Perubatan Ketenteraan ASEAN secara maya yang akan diadakan pada Mei 2020 yang akan memaparkan topik-topik mengenai ‘Kesiapsiagaan Pandemik’.
Pemerintah ABDB juga berharap usaha sebegini akan membuka lebih banyak peluang pertukaran dan penyelidikan kolaboratif dalam perubatan ketenteraan.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Staf ABDB, Kolonel (U) Abdul Rahman bin Haji Durahman; Pengarah Jabatanarah Perisikan Kementerian Pertahanan (KEMENTAH), Kolonel (U) Haji Mohd Muluddin bin Haji Latif; Pengarah Jabatanarah Logistik KEMENTAH, Leftenan Kolonel Haji Abdul Kadir bin Haji Mahmud; Ketua Pegawai Perubatan ABDB, Kolonel Dr Haji Awang Mohd Hafizul bin Haji Awang Hassan dan Penasihat Pertahanan kepada Suruhanjaya Tinggi Australia, Leftenan Kolonel Dan Hauser.
