Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 1 DIS – Awang Abdul Fa’iz Ariffin bin Haji Awang Mohamad menerima lebih separuh undi daripada penduduk Kampung Pandan C untuk menggalas tugas sebagai Ketua Kampung baharu mereka semasa acara pengiraan undi yang diadakan di Dewan Serbaguna, Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar, hari ini.
Pengiraan undi diselia oleh Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amir Azman bin Pehin Orang Kaya Pekerma Setia Dato Paduka Haji Abdul Rahman.
Turut hadir ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Yang Berhormat Haji Mohd Salleh bin Haji Othman dan Awang Mohammad Haazeq bin Arsad selaku wakil dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Pemangku Penolong Pegawai Daerah Belait, penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung dan ketua rumah panjang.
Pengundian dimulakan dengan menggunakan aplikasi e-Undi PMKK pada 29 November dan pengundian menggunakan kaedah kertas undi hari ini.
Jawatan itu ditandingi oleh dua calon. Calon pertama, Awang Abdul Fa’iz Ariffin bin Haji Awang Mohamad, 30 tahun, berkelulusan BDTVEC National Diploma in Business and Finance dan kini memangku jawatan Ketua Kampung Pandan C secara bergilir sebulan ke sebulan.
Manakala calon kedua, Awang Muhammad Nurfaisal bin Ismail, 38 tahun, berkelulusan Sijil Am Pelajaran Peringkat O dan kini bertugas sebagai freelancer di Jabatan Radio Television Brunei (RTB), di samping memangku jawatan Ketua Kampung Pandan C secara bergilir sebulan ke sebulan.
Di antara 168 undi yang dikeluarkan, 103 undi menyokong Awang Abdul Fa’iz Ariffin bin Haji Awang Mohamad sebagai ketua kampung, manakala 64 mengundi Awang Muhammad Nurfaisal bin Ismail, dengan satu undi rosak.
Keputusan pengundian akan diserahkan kepada Lembaga Perjawatan, Disiplin, Tatatertib Penghulu Mukim dan Ketua Kampung KHEDN bagi proses selanjutnya.