Ahad, 23 November 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Abdul Karim puji kem taekwondo tuan rumah

    KUCHING, 19 OGOS – Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah memuji kem taekwondo tuan rumah yang telah mempamerkan prestasi cemerlang selepas mengumpul 11 pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.

    Beliau yakin mereka mampu mengutip lebih pingat emas menerusi baki beberapa acara berdasarkan semangat juang yang tinggi, sebelum taekwondo melabuhkan tirai esok.

    Abdul Karim berkata tiada yang mustahil untuk atlet menyumbang pingat emas jika mereka telah menetapkan sasaran masing-masing.

    “Sebelum SUKMA, apabila kita membuat penilaian, mereka memberikan petunjuk mampu menyumbang sekurang-kurangnya tujuh emas, namun sebelum acara berakhir, mereka telah menghadiahkan 11 emas. Ini amat mengagumkan saya.

    “Hal ini belum pernah berlaku. Lebih baik daripada apa yang kita capai pada 2016. Saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada seluruh pasukan, jurulatih, pengurusan dan tentunya kepada atlet yang sangat berdedikasi,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian pingat kepada pemenang acara taekwondo di Stadium Perpaduan hari ini.

    Skuad Bumi Kenyalang meraih lapan pingat emas pada edisi 2016 di laman sendiri sebelum membawa pulang empat emas pada edisi 2018 di Perak. Acara taekwondo tidak dipertandingkan pada SUKMA 2022 di Kuala Lumpur.

    Abdul Karim pada masa sama berharap seluruh atlet Sarawak terus menunjukkan prestasi terbaik bagi memastikan lagu Ibu Pertiwiku terus berkumandang di Bumi Kenyalang.

    “Saya mungkin akan ke Bintulu bagi memberi sokongan kepada pasukan (Muay Thai). Saya tahu mereka mampu menyumbang sesuatu. Begitu juga pasukan kriket, yang pertama kali melangkah ke final,” katanya yang yakin Sarawak berada di landasan tepat untuk muncul juara keseluruhan temasya kali ini. – Bernama

    Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah pada sesi penyampaian hadiah acara trio perempuan pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 di Megalane Emart Batu Kawah pada 18 Ogos. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda