Abdul Latif mahu pecah rekod dunia

KANGAR, 6 MAC – Selepas berjaya mencipta rekod dunia menerusi acara lompat jauh T20 pada temasya Sukan Para Asia dua tahun lepas, atlet elit paralimpik negara, Abdul Latif Romly sekali lagi melakar impian untuk memecah rekod dunia pada temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 bermula Ogos ini.

Atlet kelahiran Perlis itu berkata, kejayaannya sebelum ini membakar semangat dan memberi lebih keyakinan untuknya mencipta kejayaan yang lebih besar pada musim ini.

“Misi saya di Tokyo bukan hanya ingin raih pingat emas sebaliknya saya ingin pecah rekod di sana,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata sebagai pemegang pingat emas pada Sukan Para Asia 2018 di Jakarta, Indonesia, beliau perlu terus fokus agar dapat melakukan pencapaian yang lebih baik pada Sukan Paralimpik Tokyo yang akan berlangsung dari 25 Ogos hingga 6 September.

 Untuk rekod, Abdul Latif berjaya memperbaharui rekod dunia dengan jarak 7.64m dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) pada temasya Sukan Para Asia 2018 di Jakarta, Indonesia, memadam catatan lamanya 7.60m pada Sukan Paralimpik Rio, Brazil pada 2016. – Bernama