KUCHING, 30 MAC – Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud hari ini menyumbangkan pelbagai peralatan dan keperluan bernilai RM120,500 kepada Hospital Umum Sarawak (HUS) bagi membantu merawat pesakit COVID-19.
Sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Sulit Kanannya, Datuk Mustapa Han kepada Pengarah HUS, Dr Ngian Hie Ung dan Ketua Jabatan Anaestesiologi dan Rawatan Rapi hospital itu, Dr Teo Shu Ching dalam satu majlis ringkas di Pejabat Yang di-Pertua Negeri Sarawak
di sini.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Astana Negeri Sarawak, sumba-ngan itu termasuk satu unit Portable Ultrasound Linear Probe, lima unit alat Anti DVT, dua unit Fibreoptic Scope dan dua unit Syringe Pump untuk kegunaan unit rawatan rapi hospital berkenaan.
Selain itu, beliau turut menyumbang 700 pek makanan dan air mineral kepada Bilik Gerakan Polis Sarawak untuk diagihkan kepada anggota polis, tentera dan RELA yang mengendalikan sekatan jalan raya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
– Bernama