Thursday, January 16, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Abdul Talib rindu libasan para pemain

    KUALA LUMPUR, 31 MAC – Ketua Jurulatih Skuad Sepak Takraw Kebangsaan, Abdul Talib Ahmad akur kerana terpaksa menunggu lebih lama sebelum dapat menyaksikan anak buahnya kembali ‘melibas’ dalam gelanggang.

    Dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memasuki hari ke-14 hari ini , Abdul Talib mengakui terbit rasa rindu untuk mengendalikan program latihan dan berinteraksi dengan semua pemain, yang kini menjalani latihan bersendirian di rumah masing-masing.

    “Memang rindu untuk keadaan kembali normal, yang semua orang boleh turun padang melakukan rutin harian sepak takraw seperti sebelum ini tetapi dalam keadaan sekarang, kesihatan serta keselamatan individu perlu jadi keutamaan.

    Sebagai jurulatih, detik bersama pemain ketika menjalani latihan antara yang paling saya rindu selain peluang untuk bertukar pandangan bersama beberapa jurulatih lain dalam merangka modul latihan,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

    Abdul Talib yang bertanggungjawab membimbing skuad negara menamatkan kemarau pingat emas 24 tahun di Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang berkata barisan pemain telah diberikan modul latihan sebagai panduan untuk mengekalkan kecergasan fizikal sepanjang tempoh PKP.

    “Terdapat perbezaan dari segi latihan kerana kawasan yang terhad di rumah, malah pemain kini dalam fasa ‘rehat aktif ’ jadi latihan itu lebih tertumpu kepada soal kecergasan agar kemahiran individu tidak terjejas kesan daripada tidak beraksi dalam tempoh yang panjang,” katanya.

    PKP yang dilaksanakan pada 18 Mac telah dilanjutkan sehingga 14 April depan untuk mengekang penularan wabak COVID-19 di negara ini. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda