Sunday, July 13, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Abe akan isytihar darurat, kenal pakej rangsangan ekonomi

    TOKYO, 6 APRIL – Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe merancang untuk mengisytiharkan darurat di negara itu Rabu ini dan dalam masa yang sama memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi bernilai AS$1 trilion bagi membendung dan menangani impak ekonomi akibat penularan wabak COVID-19.

    Pengisytiharan rasmi perintah darurat kemungkinan akan diumumkan esok, Shinzo Abe memberitahu wartawan, ketika negara itu bergelut dengan kes koronavirus yang meningkat baru-baru ini, terutamanya di ibu negara, Tokyo.

    “Pada masa ini, kita menyaksikan peningkatan mendadak kes jangkitan baharu terutamanya di kawasan bandar seperti Tokyo dan Osaka,” kata Abe.

    Agensi berita Sputnik yang memetik agensi berita Kyodo pada Isnin melaporkan, seorang pegawai kerajaan berkata, perisytiharan darurat membolehkan pihak berkuasa tempatan mengarahkan penduduk tidak keluar rumah, menyertai majlis awam serta mematuhi garis panduan penjagaan kesihatan diri.

    Bagaimanapun, mereka yang gagal mematuhi peraturan dan cadangan berkenaan tidak akan didenda.

    Menurut agensi berita itu, perintah darurat itu akan memberikan kesan ke atas bandar raya besar seperti Tokyo dan Osaka.

    “Kami merancang melaksanakan perintah darurat bagi tempoh sebulan, dengan itu kami meminta kerjasama daripada rakyat Jepun untuk mengurangkan kontak orang-ke-orang yang membawa kepada jangkitan.

    “Di Jepun, meskipun kita mengisytiharkan perintah darurat, kita tidak akan menutup bandar-bandar seperti di negara-negara asing. Pakar kami mengatakan, langkah sedemikian tidak perlu,” kata Abe.

    Sehingga Ahad, Jepun mencatatkan 4,563 kes COVID-19, 104 kematian. Di Tokyo sahaja, 143 kes jangkitan baharu dicatatkan, menjadikan sejumlah 1,033 kes direkodkan di kota raya itu. – Bernama/AFP

    Orang awam kelihatan berhampiran rak-rak makanan yang kosong di sebuah pasar raya di Tokyo, 6 April. Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe mengatakan kerajaan akan mengisytiharkan perintah darurat dan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai AS$1 trilion ketika ia menyaksikan peningkatan mendadak dalam COVID-19 di Tokyo dan bandar-bandar lain. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda