LOS ANGELES, 17 FEB – Pemain Sweden, Ludwig Aberg mencipta kejayaan dramatik apabila berjaya menjuarai Genesis Invitational di Torrey Pines, California selepas melakar birdie di lubang terakhir, kelmarin.
Aberg menamatkan enam lubang terakhir dengan membenam 4 di bawah par dan mencatatkan pusingan akhir 66 untuk menewaskan pemain Amerika Syarikat, Maverick McNealy, sekali gus merangkul kejuaraan keduanya dalam Jelajah PGA.
Selepas prestasi bercampur-campur di sembilan lubang pertama, di mana dia mencatat empat birdie dan dua bogey, Aberg menemui rentaknya di sembilan lubang terakhir dengan tiga birdie berturut-turut bermula dari lubang ke-13.
McNealy yang telah menamatkan saingan dengan 8 di bawah par 64 menduduki tempat teratas dengan catatan keseluruhan 11 di bawah par ketika Aberg menghampiri lubang ke-18 dalam keputusan seri.
Pemain Sweden itu melakukan pukulan sejauh 317 ela ke tengah fairway tetapi masih mempunyai tugas sukar apabila pukulan keduanya mendarat di kawasan belakang padang, kira-kira 70 kaki dari lubang.

Aberg memerlukan dua pukulan untuk mendapatkan birdie kemenangan kejohanan dan walaupun berdepan pukulan mencabar sejauh tujuh kaki, dia berjaya mengekalkan ketenangannya untuk menamatkan saingan dengan penuh dramatik dan memenangi hadiah utama bernilai AS$4 juta dalam kejohanan yang dianjurkan oleh Tiger Woods.
“Ia sungguh luar biasa. Ia adalah pertarungan yang hebat. Sudah tentu, padang golf ini mencabar tetapi saya rasa saya berjaya mengawal pukulan sepanjang hari dan saya sangat berbangga dengan cara saya menamatkan kejohanan ini. Ia benar-benar mengagumkan,” kata Aberg.
“Ia sangat menyeronokkan apabila menghampiri lubang-lubang terakhir dalam usaha memenangi kejohanan. Ia adalah perasaan yang istimewa dan saya bangga dengan semangat juang yang saya tunjukkan hari ini,” tambahnya.
McNealy ketika itu sedang bersiap sedia di kawasan latihan untuk kemungkinan playoff apabila sorakan penonton bergema menandakan kemenangan Aberg di lubang ke-18.
Ia merupakan kekecewaan besar buat pemain berusia 29 tahun itu, yang mencapai giliran di sembilan lubang pertama dengan 6 di bawah par dan melakukan tiga lagi birdie sebelum bogey di lubang ke-14 par-4 memberikan ruang kepada Aberg untuk menguasai saingan.
“Beberapa pukulan kurang baik dan sedikit nasib malang di penghujung permainan, tetapi saya pastinya mempunyai beberapa peluang baik dan menikmati perlawanan terkawal dalam beberapa situasi sebelum ini,” kata McNealy. – AFP