Wednesday, December 4, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Abokado buka cawangan di Brunei

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Orang ramai yang ingin mendapatkan barisan produk dari Jepun pada harga yang berpatutan boleh berkunjung ke cawangan pertama Abokado Japan Company yang dibuka secara rasmi di Rimba Point, hari ini.

    Hadir untuk menyempurnakan perasmian cawangan pertama itu ialah Setiausaha Kedua, Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, Kuwae Kazuhide, Pengarah Urusan Abokado Japan Company, Wong Kim Guan dan Pengerusi Abokado Japan Company, Wong Yong Lin.

    Pada acara itu juga, syarikat berkenaan turut memperkenalkan maskot rasminya iaitu Abokado yang direka untuk tampak comel dan riang bagi menghiburkan kanak-kanak yang berkunjung ke perasmian itu.

    Cawangan pertama itu mengetengahkan rekaan ruang jualan yang diinspirasikan daripada pengalaman membeli-belah di Jepun dengan membawa tema hijau serta mempunyai barisan produk yang disusun rapi bagi memudahkan para pengunjung untuk mendapatkan produk pilihan mereka.

    Dengan hasrat untuk membawakan produk-produk berkualiti ke Brunei, pengalaman pembelian barangan daripada Abokado adalah amat mudah di mana barangan yang dijual adalah berasaskan kepada tiga peringkat harga.

    Abokado Japan Company mempunyai lebih 8,000 produk unik dengan lebih 140,000 barangan yang sentiasa dikemaskinikan dan distok semula dengan trend serta inovasi terkini. Para pengunjung boleh mendapatkan barangan daripada 16 kategori produk pilihan iaitu barangan rumah, barangan pinggan mangkuk, barangan dapur, peralatan, barangan kebun, aksesori fesyen, permainan dan juga barangan digital.

    Dengan perasmian cawangan pertamanya itu, perancangan sedang dilaksanakan untuk membuka cawangan kedua dan ketiga dalam masa yang terdekat.

    Dengan perkembangan Abakado Japan Company untuk memberikan layanan yang terbaik kepada pelanggan mereka, cawangan terbaharunya dijangka akan terus menyediakan pelbagai jenis produk yang akan diisi semula setiap bulan dan menjana lebih banyak peluang pekerjaan bagi warga Brunei dalam bidang logistik serta jualan.

    Wong Kim Guan (dua dari kiri) dan Kuwae Kazuhide (tiga dari kiri) memotong reben untuk merasmikan pembukaan cawangan pertama Abokado Japan Company di Rimba Point, kelmarin.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda