Friday, December 27, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    ABPBH 33: Sepuluh artis dahului undian

    Sepuluh calon pelbagai kategori Anugerah Bintang Paling Popular BH (ABPBH) ke-33 diumumkan mendahului undian sejak proses pencarian pemenang dilancarkan pada 7 Oktober lalu.

    Artis terbabit adalah Aiman Tino; Alif Satar; Nur Fazura; Haqiem Rusli; Haziq; Hun Haqeem; Khai Bahar; Sherry Alhadad; Siti Nordiana dan Zahiril Adzim.

    Kumpulan artis ini merangkumi penyanyi, pelakon, penyampai radio dan pelawak, malah ada dalam kalangan mereka dianggap bintang versatil yang menguasai lebih daripada satu bidang.

    Bagaimanapun, pengumuman yang dibuat penganjur ABPBH 33 dalam program hiburan terbitan TV3, Melodi dan sidang media virtual di sini, hari ini, bukanlah jaminan artis terbabit bakal beroleh kemenangan.

    Pengarang Berita Hiburan BH, Shamshul Azree Samshir, berkata, peminat masih boleh mengundi artis pilihan dengan melayari www.abpbh.com.my sehingga tarikh akhir pada 8 November ini.

    Nur Fazura antara 10 calon pelbagai kategori Anugerah Bintang Paling Popular BH (ABPBH) ke-33 yang diumumkan mendahului undian sejak proses pencarian pemenang dilancarkan pada 7 Oktober lalu. – Agensi

    “Senarai 10 artis yang mendahului pencalonan ini boleh dianggap gambaran awal terhadap minat dan kecenderu-ngan penyokong terhadap selebriti pujaan.

    “Artis tersenarai sama ada memiliki produk yang baik dan viral, juga dilihat mempunyai hubungan rapat dengan peminat melalui sosial media yang menjadi medium utama komunikasi sejak penularan COVID-19.

    “Apa yang penting, kuasa masih lagi di tangan peminat kerana tarikh tutup undian ABPBH 33 adalah pada 8 November ini,” katanya kepada BH Online.

    Sidang media virtual itu turut mengumumkan pengacara, penyanyi dan pelakon popular, Datuk AC Mizal sekali lagi mengemudi malam kemuncak ABPBH bagi edisi ke-33.

    Kali ini, AC digandingkan dengan pelakon, Nabila Huda.

    Turut diumumkan pengisian malam kemuncak yang bakal dijayakan bintang layak bergelar lagenda dan bakat baharu.

    Pentas ABPBH 33 bakal dihangatkan dengan persembahan duet dan berkumpulan membabitkan gandingan Azlan Typewriter, Yonniboii dan Zynakal; Faizal Tahir, Elly Mazlein, Syamel, Zizi Kirana dan Dolla; Ernie Zakri dan Hafiz Suip serta Naim Daniel, Tuju dan Man Keedal.

    Malam kemuncak ABPBH 33 bakal menobatkan Bintang Paling Popular yang dipilih dalam kalangan calon Top 20 yang memperoleh undian tertinggi membabitkan 13 kategori.

    Tiga belas kategori itu adalah Artis Baharu Lelaki Popular, Artis Baharu Wanita Popular, Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi Malaysia, Penyanyi Wanita Popular Xiaomi Malaysia dan Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular.

    Kategori lain adalah Pelakon Filem Lelaki Popular, Pelakon Filem Wanita Popular, Pelakon TV Lelaki Popular, Pelakon TV Wanita Popular, Artis Versatil Popular, Artis Komedi Popular, Pengacara TV Popular dan Penyampai Radio Popular.

    Turut dipertandingkan adalah lima kategori ‘online’ iaitu Gandingan Serasi Drama Popular, Gandingan Serasi Filem Popular, Lagu Paling Boom Popular, Artis Kontroversi Popular dan FC #FANtastik Popular. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda