BANDAR SERI BEGAWAN, 20 APRIL – Atlet kebangsaan taekwondo, Muhammad Abrar bin Haji Bakar @ Muhammad Bisyukri bakal mewakili negara ke Kejohanan Piala Presiden World Taekwondo (WT) G3 Rantau Asia ke-7 yang dijadual berlangsung pada 23 hingga 24 April ini di Taian, China.
Muhammad Abrar merupakan satu-satunya wakil Brunei yang tersenarai dalam Ranking Dunia WT dan dikenali sebagai antara atlet kyorugi (pertarungan) paling menyerlah di negara ini.
Pada Oktober lalu, beliau mara ke peringkat suku akhir dalam Kejohanan Kasad Terbuka Asia G2 di Indonesia selepas menewaskan atlet dari Timor-Leste dan Indonesia.
Pada Ogos 2024, Abrar mencipta sejarah apabila menyumbang pingat gangsa dalam acara sparring di temasya SUKMA yang berlangsung di Kuching, Sarawak. Ia merupakan pencapaian pertama negara dalam sukan tersebut sejak 2016 dan telah menyemarakkan semula harapan dalam arena taekwondo tanah air.
Sepanjang penglibatannya dalam sukan tersebut, Abrar telah mengumpul pelbagai pencapaian di peringkat serantau dan antarabangsa. Antaranya tiga pingat emas berturut-turut di Kejohanan Piala Duta Korea yang berlangsung di Brunei pada tahun 2022, 2023 dan 2024.

Beliau juga meraih pingat perak dalam Piala Presiden Universiti Shinsung 2022 di Korea Selatan, serta pingat gangsa dalam Kejohanan Budaya Taekwondo Antarabangsa 2022 di Taekwondowon, Korea Selatan.
Pada tahun 2023, beliau turut menyumbang pingat gangsa dalam Kejohanan Taekwondo ASEAN ke-16 yang berlangsung di Filipina, serta dua pingat emas dalam Kejohanan Terbuka Labuan ke-12 dan Terbuka Borneo Utara ke-2 di Kota Kinabalu, Malaysia.
Kejayaan konsisten Muhammad Abrar mencerminkan disiplin, ketekunan dan semangat kesukanan yang tinggi. Beliau terus berkembang sebagai atlet di bawah bimbingan barisan jurulatih berpengalaman seperti Nikman Waie selaku Naib Presiden merangkap Ketua Jurulatih Kebangsaan, Haji Ismadey Haji Hussin sebagai Naib Presiden, serta Park Sang Jin selaku Jurulatih Kebangsaan Kyorugi.
Persatuan Taekwondo Brunei Darussalam (BDTA) menyatakan sokongan penuh dan keyakinan terhadap penyertaan Abrar dalam kejohanan berprestij itu.
BDTA turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Belia dan Sukan (JBS) atas kerjasama erat dan sokongan berterusan dalam memajukan sukan taekwondo serta membina asas kukuh untuk atlet tempatan bersaing di pentas antarabangsa.
Pihak persatuan mendoakan kejayaan cemerlang buat Muhammad Abrar dan percaya beliau akan mengharumkan nama negara dengan semangat juang tinggi di Piala Presiden WT G3 nanti.