Saturday, April 26, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Abu datuk jadi perisa biskut

    LOS ANGELES, 18 Okt – Seorang remaja perempuan di California didakwa menggunakan abu mayat datuknya untuk membuat biskut dan memberikannya kepada kawan-kawan sekolahnya, menurut laporan media setempat.

    Pelajar itu dikatakan telah memberikan biskut yang dihasilkannya itu kepada sekurang-kurangnya sembilan orang, menurut Los Angeles Times, memetik daripada kenyataan polis di Davis, berdekatan dengan ibu negeri Sacramento.

    Sebahagian rakannya yang memakan biskut itu tanpa mengetahui mengenai ‘ramuan tambahan’ tersebut dan terasa ngeri, kata Leftenan Paul Doroshov, menurut Times.

    Apa yang pelik lagi, sebahagian pelajar di Da Vinci Charter Academy tetap memakan biskut itu meskipun sudah diberitahu mengenainya, menurut Doroshov kepada akhbar tersebut, dengan menambah bahawa dakwaan itu boleh dipercayai.

    Pelajar Andy Knox memberitahu stesen televisyen setempat, KCRA, bahawa dia dalam perjalanan menuju ke kelas apabila seorang pelajar yang tidak dikenalinya menawarkan biskut kepadanya dengan berkata ia mengandungi ‘perisa istimewa’.

    “Saya fikir dia memasukkan dadah di dalamnya atau perkara seperti itu. Jadi saya bertanya kepadanya, ‘Adakah ini biskut dadah atau apa?’” katanya.

    “Dan dia menjawab, ‘Tidak.’ Dia menjawab ia adalah abu mayat datuknya. Dan kemudian ketawa. Saya benar-benar terkejut dan rasa ngeri.”

    Polis sedang membuat siasatan ke atas kejadian 4 Oktober itu, menurut beberapa laporan media namun masih belum membuat sebarang tangkapan atau tindakan ke atas remaja perempuan itu.

    Davis Joint Unified School District dalam kenyataannya menjelaskan bahawa para pelajarnya selamat dan ‘tiada risiko kesihatan’ dialami oleh mangsa yang terlibat.

    “Kes terbaharu ini sangat mencabar dan kami perlu bertindak dengan sebaiknya serta dengan cara yang baik dan bermaruah,” tambah kenyataan itu.

    “Mereka yang terlibat merasa penuh sesal dan ia kini menjadi masalah peribadi keluarga. Kami mahu menghormati privasi keluarga-keluarga yang terlibat.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda