Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Abu Dhabi anjur Sidang Minyak

    ABU DHABI, 3 NOV – Abu Dhabi merasmikan Sidang Kemuncak Minyak utama, hari ini, dengan para pegawai menyuarakan keyakinan bahawa permintaan tenaga bagi kecerdasan buatan (AI) dan sektor penerbangan global akan melonjakkan harga tenaga, hanya beberapa jam selepas OPEC+ menghentikan kenaikan pengeluaran yang dirancang untuk tahun hadapan.

    Kenyataan itu disampaikan pada Pameran dan Persidangan Petroleum Antarabangsa Abu Dhabi (ADIPEC) di ibu negara Emiriah, yang sekali lagi menonjolkan percanggahan dalam pasaran tenaga dan dasar Emiriah Arab Bersatu, sebuah pengeluar minyak utama yang pernah menjadi tuan rumah rundingan iklim COP28 pada 2023.

    Sultan al-Jaber, ketua Abu Dhabi National Oil Company yang juga mengetuai COP28, menyifatkan pasaran tenaga sebagai memerlukan “pengukuhan, bukan penggantian.”

    Setiausaha Dalam Negeri Amerika Syarikat, Doug Burgum, memuji kenyataan al-Jaber dan mengkritik apa yang digambarkannya sebagai dasar berasaskan ideologi ekstremisme iklim.

    “Permintaan tenaga akan terus meningkat,” kata Burgum.

    Sultan al-Jaber berucap pada sesi pembukaan tahunan Pameran dan Persidangan Petroleum Antarabangsa Abu Dhabi (ADIPEC) di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu, kelmarin. – AP

    “Hari ini adalah hari untuk mengumumkan bahawa tiada peralihan tenaga. Apa yang ada hanyalah penambahan tenaga.”

    Kelmarin, OPEC+ bersidang dan memutuskan untuk meningkatkan pengeluaran sebanyak 137,000 tong sehari bermula Disember.

    Namun, pelarasan seterusnya yang dijadualkan pada Januari, Februari dan Mac tahun depan dihentikan “disebabkan faktor musim.”

    OPEC+ merangkumi negara anggota utama kartel minyak tersebut, serta negara luar termasuk Rusia.

    Harga penanda aras minyak mentah Brent pada Isnin berada sekitar AS$65 setong, susut daripada paras tertinggi pasca-COVID sekitar AS$115 setong selepas pencerobohan besar-besaran Rusia ke atas Ukraine pada tahun 2022.

    Harga turut menjunam ke AS$60 setong kebelakangan ini disebabkan kebimbangan pengeluaran berlebihan.

    Burgum, bekas gabenor Republikan Dakota Utara dan kini pengerusi Majlis Dominasi Tenaga Nasional Presiden AS Donald Trump, turut hadir di persidangan tersebut.

    Beliau turut memuji jalinan kerjasama negara Arab Teluk pengeluar minyak dengan Amerika Syarikat (AS), sambil berkata, “Kami berkongsi kepercayaan mengenai dasar tenaga.”

    “Awda perlu cip, anda perlu model perisian dan anda perlu lebih banyak elektrik.”

    Purata harga petrol di AS pada Isnin ialah AS$3.03 segelen iaitu penanda penting politik dan ekonomi.

    Trump juga pernah mengkritik OPEC+ dan Arab Saudi mengenai harga minyak, terutamanya dalam penggal pertamanya.

    Sementara itu, AS dan United Kingdom mengumumkan sekatan minyak baharu terhadap Rusia ekoran perang yang berlaku di Ukraine.

    Sekatan itu menyasarkan Rosneft dan syarikat minyak Lukoil dari Rusia, yang logonya kelihatan di persidangan tersebut.

    UAE mengekalkan hubungan rapat dengan Rusia meskipun konflik, tetapi turut menjadi pengantara penting dalam rundingan pertukaran tahanan antara Kyiv dan Moscow. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda