AUSTRALIA, 7 MAC – Pasukan bola sepak terkenal di Itali, AC Milan akan berkunjung ke Australia buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun untuk berdepan AS Roma dalam perlawanan musim akhir di Perth. Kedua-dua pasukan akan beraksi pada 31 Mei di Stadium Perth yang mampu menampung 65,000 penonton, dengan kedua-dua pasukan mempunyai kumpulan penyokong yang kuat di negara tersebut.
“AC Milan sangat gembira berpeluang kembali ke Australia,” kata Ketua Eksekutif kelab, Giorgio Furlani.
“Kami bangga kerana telah dipilih bersama AS Roma dan kami berterima kasih kepada kerajaan Australia Barat atas jemputan tersebut,” tambahnya.
Juara Eropah tujuh kali terakhir itu bermain di Australia pada tahun 1993 ketika mereka menentang pasukan kebangsaan Australia di Sydney dan Melbourne.
“Menjadi tuan rumah perlawanan antara AC Milan dan AS Roma di Perth adalah peluang menarik untuk kami memperkukuhkan hubungan kami dengan Itali,” kata Premier Australia Barat, Roger Cook.
Roma kali terakhir beraksi di Australia pada tahun 2015 ketika mereka menentang Real Madrid dan Manchester City. – AFP
