RIYADH, 7 JAN – Tammy Abraham menjadi wira pada minit akhir ketika AC Milan bangkit setelah ketinggalan dua gol untuk menewaskan juara bertahan Inter Milan 3-2 sekali gus menjulang trofi Piala Super Itali di Riyadh, kelmarin.
Inter memburu trofi keempat berturut-turut dalam kejohanan itu selepas gol dari Lautaro Martinez dan Mehdi Taremi sejurus sebelum dan selepas rehat.
Kebangkitan AC Milan dalam kemenangan 2-1 mereka menentang Juventus pada separuh akhir sebelumnya diulang kembali pada perlawanan itu apabila mereka berjaya mencorak permainan selepas rehat.
Kehilangan Hakan Calhanoglu akibat kecederaan otot selepas setengah jam permainan telah memberi tamparan hebat kepada Inter, juara bertahan Serie A itu. Pemain tengah Turkiye tersebut kemudiannya digantikan oleh Kristjan Asllani.
Theo Hernandez menghidupkan semula harapan AC Milan dengan sepakan percuma selepas 52 minit ketika mereka memburu trofi pertama di bawah jurulatih baharu, Sergio Conceicao.
Pemain sayap Amerika Syarikat, Christian Pulisic, memperolehi gol penyamaan ketika berbaki 10 minit dengan penyerang England, Abraham, mengesahkan kemenangan selepas 93 minit untuk memberikan pasukannya trofi buat kali kelapan.
Juara bertahan tiga kali Inter telah mendominasi Atalanta 2-0 Khamis lalu dalam separuh akhir Piala Super yang diadakan di Arab Saudi untuk tahun ketiga berturut-turut.
Trofi Piala Super Itali kelapan yang dirangkul oleh AC Milan adalah menyamai dengan Inter Milan dan di belakang Juventus yang telah memenangi kejohanan itu dengan rekod sembilan kali. – AFP