MILAN, 19 FEB – Feyenoord mara ke kelompok 16 terbaik Liga Juara-juara semalam selepas mengambil kesempatan daripada kad merah Theo Hernandez untuk seri 1-1 dengan AC Milan dan layak dengan agregat 2-1.
Julian Carranza menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-73 di San Siro, mencetuskan kegembiraan kepada kira-kira 5,000 penyokong pelawat di stadium yang sama di mana Feyenoord pernah menjuarai Piala Eropah pada tahun 1970.
Penyerang Argentina, Carranza, yang memberitahu wartawan bahawa dia kurang sihat untuk memulakan perlawanan, menyamakan kedudukan selepas gol awal minit pertama oleh Santiago Gimenez untuk Milan dan membawa kelab Belanda itu mara ke pusingan seterusnya untuk bertemu sama ada Inter Milan atau Arsenal.
Satu-satunya perkara yang merencatkan kejayaan Feyenoord ialah kad merah yang diterima oleh pemain pertahanan kanan, Givairo Read, selepas wisel penamat susulan ketegangan di tepi padang antara kedua-dua pasukan.
“Dalam 25 atau 30 minit bermain, saya tidak berasa sihat dan saya rasa semua orang boleh melihatnya kerana selepas setiap larian, saya terus batuk,” kata Carranza.
“Ia adalah gol paling penting yang pernah saya jaringkan, jadi saya sangat gembira untuk itu.”
Carranza menjaringkan gol untuk Feyenoord tidak lama selepas dimasukkan sebagai pemain gantian ketika pasukan pelawat berusaha untuk mara ke pusingan seterusnya selepas Hernandez dibuang padang lima minit selepas separuh masa kedua bermula.
Hernandez, yang sudah menerima kad kuning kerana melakukan kekasaran tidak perlu ke atas Anis Hadj-Moussa sebelum rehat, didapati oleh pengadil Szymon Marciniak telah berpura-pura jatuh di dalam kotak penalti ketika berdepan tekanan daripada Read. – AFP
