Tuesday, May 13, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Acai: Rahmat atau ancaman?

    BRAZIL – Bekerja di bawah panas terik di Amazon Brazil, Jose Diogo memanjat pokok dan memetik buah beri hitam iaitu acai, ‘makanan super’ yang semakin polular dan mengubah rupa semula hutan terbesar di dunia menjadi lebih baik dan lebih teruk.

    Diogo, 41, yang tinggal dalam komuniti miskin dan terpencil yang diasaskan oleh hamba yang melarikan diri, berada beribu batu jauhnya daripada lorong pasar raya mewah di New York atau Tokyo, di mana buah beri seperti itu dijual dalam bentuk serbat, smoothie, jus, serbuk dan pil, dipopularkan oleh orang-orang seperti Gwyneth Paltrow dan Meghan Markle.

    Tetapi dia dapat melihat secara langsung tentang perubahan yang dibawa oleh kegilaan terhadap acai kepada Amazon Brazil.

    Sejak acai semakin digemari di peringkat antarabangsa pada tahun 2000an, kerana khasiat pemakanan dan antioksidannya yang kaya, ia telah menyebabkan ledakan ekonomi bagi petani tradisional di rantau Amazon, dan dipuji sebagai satu cara untuk membawa pembangunan hijau ke dalam hutan tanpa memusnahkannya.

    Tetapi pakar mengatakan ia juga mengancam kepelbagaian biologi Amazon, kerana ladang tanaman tunggal pokok acai menjadi semakin biasa.

    Gambar buah acai yang sudah dipetik di ladang pokok palma petani Jose Santos Diogo di Abaetetuba, Para State, di Hutan Amazon Brazil. – Gambar AFP
    Silvia Diogo memasukkan beri acai ke dalam mesin untuk mengekstrak pulpa di rumahnya. – Gambar AFP
    Jose Santos Diogo memetik buah beri dari pokok palma acai di ladangnya di Abaetetuba, Para State, di Hutan Amazon Brazil. – Gambar AFP
    Seorang budak lelaki mendayung sampan kecil di Sungai Itacuruca di Abaetetuba, Para State, di hutan Amazon Brazil. – Gambar AFP
    Gambar AFP

    Diogo, yang tinggal di perkampungan Igarape Sao Joao, di utara negeri Para, sedang membina sendiri sebuah rumah bata hasil daripada wang yang diperoleh daripada penjualan acai.

    “Kehidupan kami semakin baik setiap musim menuai,” katanya sambil memetik buah beri kecil ke dalam bakul besar.

    Dia boleh memuatkan 25 bakul pada hari yang baik, membawa pulang antara 300 dan 625 reai (AS$60 hingga AS$128), katanya.

    Buah beri itu dibawa dengan bot ke Belem, ibu negeri, di mana pekerja yang berpeluh membawa muatan yang besar ke pasaran untuk dijual secepat mungkin, sebelum buah yang rapuh itu buruk.

    Acai-ification Amazon

    Dihidangkan oleh kumpulan Orang Asli sejak sekian lama, acai merupakan hidangan utama di timur laut Brazil, dimakan bersama tepung ubi kayu atau digunakan sebagai pelengkap ikan dan hidangan lain.

    Pulpa ungu itu mula popular di seluruh Brazil sejak dua dekad yang lalu, sering diminum sebagai jus atau dijadikan sebagai serbat manis dan dihidangkan bersama buah-buahan dan granola.

    Sejak itu, acai terus diminati di seluruh dunia, dari Amerika Syarikat (AS) ke Eropah, Australia dan Jepun, di mana ia boleh menjual dari sekitar AS$5 setiap mangkuk hingga lebih AS$20 untuk satu paket 100 gram serbuk acai organik.

    Eksport acai dan jenis-jenisnya dari Brazil melonjak daripada 60 kilogram pada tahun 1999 kepada lebih daripada 15,000 tan pada tahun 2021.

    Para yang menghasilkan 90 peratus acai Brazil, menghasilkan hampir 1.4 juta tan daripadanya pada 2021, bernilai lebih AS$1 bilion bagi ekonomi negeri itu.

    Tetapi kajian menunjukkan penebangan pokok acai di Amazon menyebabkan kehilangan biodiversiti di beberapa wilayah dengan menggantikan spesies lain.

    “Biarkan alam semula jadi bertindak mengikut cara sendiri, dan awda mendapat 50 atau mungkin 100 pokok acai sehektar,” kata ahli biologi Madson Freitas dari institut penyelidikan Museu Goeldi di Belem.

    “Apabila awda melebihi 200, awda kehilangan 60 peratus daripada kepelbagaian spesies asli yang lain.”

    Dia telah menerbitkan satu kajian mengenai fenomena itu, yang dia panggil acai-ification.

    Kehilangan spesies tumbuhan lain pula memberi kesan negatif pada acai, yang menjadi kurang produktif disebabkan kehilangan polinator seperti lebah, semut dan tebuan, katanya.

    Tempoh kering yang lebih lama di Amazon, yang mungkin diburukkan lagi oleh perubahan iklim, juga merugikan acai, yang cenderung tumbuh di tanah yang banjir semasa musim hujan.

    Perkhidmatan alam sekitar

    Freitas, seperti Diogo, berasal dari komuniti quilombo, yang diasaskan oleh hamba yang melarikan diri di Brazil pada abad ke-17 dan ke-18.

    Beliau berkata undang-undang pemuliharaan yang lebih kukuh dan penegakan undang-undang diperlukan untuk memerangi pertanian tanaman tunggal serta insentif untuk petani bagi memelihara hutan.

    Salomao Santos, seorang pemimpin tempatan di Igarape Sao Joao, mengakui dominasi acai boleh menjadi masalah.

    “Kita yang tinggal di Amazon tahu kita tidak boleh hidup dengan satu spesies,” katanya.

    Dia mengimbas kembali akan ledakan dan kejayaan komoditi masa lalu, seperti tebu dan getah.

    Dia ingin mendapatkan pampasan untuk penduduk quilombo dan orang lain yang memelihara Amazon, yang ratusan bilion pokok penyerap karbon adalah sumber penting terhadap perubahan iklim.

    “Kami menyediakan perkhidmatan alam sekitar yang besar kepada dunia,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda