Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi
TEMBURONG, 14 Mac – Dalam usaha meramaikan dan menceriakan lagi Pekan Bangar, Jabatan Daerah Temburong dengan kerjasama Kumpulan Temburong Pedalers dan agensi-agensi berkenaan akan mengadakan satu acara menjurus kepada aktiviti riadah iaitu acara Bangarku Ceria.
Acara ini akan diadakan pada hari Ahad, 19 Mac bertempat di Pekan Bangar, Temburong.
Di antara pengisiannya adalah sembahyang subuh berjemaah dan seterusnya tazkirah di Masjid Utama Mohd Salleh serta acara berbasikal yang dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan pertama sejauh 10 km dan kumpulan kedua sejauh 38 km yang akan bermula pada pukul 7:45 pagi.
Selain itu, bazar jualan bagi produk Satu Kampung Satu Produk oleh majlis-majlis perundingan mukim dan kampung turut diadakan bagi memeriahkan acara Bangarku Ceria. Aktiviti sampingan lain yang akan diadakan ialah peraduan mewarna dan aktiviti sukaneka dan sebagainya. Orang ramai diharapkan supaya akan datang beramai-ramai bagi memeriahkan lagi acara Bangarku Ceria.