Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam mengadakan Acara Walk For Peace sempena Sambutan Hari Kedamaian Sedunia 2024 yang berlangsung di Ibu Pejabat Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD), Anggerek Desa, Berakas, hari ini.
Sambutan Hari Kedamaian Sedunia anjuran PPPBD berkenaan merupakan salah satu daripada kegiatan tahunan persatuan dengan tema Mengekalkan Keamanan dan Keharmonian.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis berkenaan ialah Naib Yang Di-Pertua Sepanjang Hayat Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam, Datin Hajah Masni binti Haji Mohd Ali. Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam, Dayang Norazrina binti Haji Sarbini, pesuruhjaya-pesuruhjaya serta ahli-ahli Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam.

Acara dimulakan dengan bacaan doa kesyukuran oleh Pesuruhjaya Kerohanian Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam, Ustazah Hajah Fatimah binti Haji Abdul Ghani dan diikuti dengan penyampaian tazkirah ringkas bertajuk Keamanan oleh Pesuruhjaya Pemimpin Muda PPPBD, Dr Mariam binti Haji Abdul Rahman.

Acara diteruskan dengan aktiviti senamrobik dan diikuti dengan pelancaran acara berjalan kaki di kawasan Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah yang turut disertai oleh Datin Hajah Masni.



Aktivit Walk For Peace itu bermatlamat untuk menyambut dan meraikan Hari Kedamaian Sedunia 2024 dengan mempromosi amalan gaya hidup sihat melalui aktiviti fizikal dan riadah, mempromosi kesedaran pentingnya keamanan sejagat serta meningkatkan dan mengukuhkan perasaan muhibah dan hubungan silaturahim di kalangan ahli persatuan.

