Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 4 MEI – Penduduk di kawasan sekitar Kampung Lumut menyertai acara berjalan pantas sambil menjelajahi keindahan alam sekitar kampung mereka sempena sambutan Hari Keluarga Kebangsaan.
Acara ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Takmir Masjid Zainab dan dimulakan seawal sebelum terbit matahari dengan Solat Subuh berjemaah, diikuti dengan tazkirah ringkas berfokuskan kepada kesihatan, kedua-duanya diadakan di Masjid Zainab, Kampung Lumut.
Para peserta kemudian bergerak ke kawasan tempat letak kereta berdekatan bagi sesi pemanasan badan ringkas sebelum memulakan acara berjalan pantas.
Dalam aktiviti tersebut, para peserta berjalan santai ke Jeti Lumut yang terletak berdekatan, sambil menikmati keindahan alam semula jadi serta suasana aman kampung pada waktu pagi sebelum kembali semula ke masjid.
Jawatankuasa takmir berharap agar acara ini dapat menggalakkan para penduduk untuk lebih menghargai alam sekitar sambil meluangkan masa bersama keluarga pada pagi hujung minggu sempena memperingati Hari Keluarga Kebangsaan.