Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 NOV – Biro Explorasi, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kilanas akan menganjurkan acara Kilanas 4×4 Baluai Offroad Challenge 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 28 hingga 30 November nanti di Tanah Lapang Jalan Ban 1, Kampung Kilanas.
Acara yang dinanti-nantikan itu akan menampilkan dua kategori utama pertandingan iaitu Kategori Terbuka dan Kategori Standard yang bakal menguji kemahiran para peserta menempuh pelbagai bentuk halangan serta laluan lasak di kawasan trek Baluai yang terkenal dengan cabarannya.
Pertandingan tersebut dijangka menarik penyertaan ramai penggemar sukan lasak dari seluruh negara, sekali gus menyerlahkan semangat kesukanan dan perpaduan masyarakat.
Penganjuran ini juga bertujuan memperkenalkan Kampung Kilanas sebagai salah satu destinasi aktiviti sukan ekstrem di Daerah Brunei dan Muara.
Acara berkenaan turut mendapat sokongan daripada Pejabat Daerah Brunei dan Muara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, serta Pejabat Tanah, Kementerian Pembangunan.
Orang ramai dialu-alukan hadir beramai-ramai bagi memeriahkan suasana sepanjang tiga hari penganjuran, di mana pelbagai aktiviti dan pameran menarik turut disediakan untuk para pengunjung.
– Gambar-gambar serahan MPK Kilanas

