Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Majlis penutup bagi aktiviti glamping telah diadakan baru-baru ini di Tapak Perkhemahan Pengakap, Beribi menghimpunkan peserta daripada pelbagai komuniti penggemar seperti perkhemahan, glamping, dan aktiviti lasak.
Acara yang berlangsung dari 17 hingga 20 Julai tersebut dianjurkan oleh persatuan Brunei Campers, AE Outdoor dengan kerjasama Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam.
Brunei Campers merupakan sebuah komuniti aktif yang kini dalam proses pendaftaran sebagai sebuah persatuan rasmi.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), Dato Paduka Haji Idris bin Haji Abas selaku tetamu kehormat, dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan.
Semasa acara tersebut, beliau telah mengunjungi ke khemah-khemah glamping yang dihias dengan kreatif dan unik oleh para peserta.
Majlis penutup tersebut diisikan dengan pelbagai acara permainan santai dan interaktif yang melibatkan para peserta dari pelbagai latar belakang.
Dengan adanya penganjuran program itu, ianya bukan sahaja berjaya merapatkan hubungan antara komuniti penggemar aktiviti luar malah memberi peluang mengetengahkan Tapak Perkhemahan Pengakap Beribi sebagai salah satu destinasi glamping yang menarik dan berpotensi di negara ini.
Dengan kemudahan yang tersedia serta persekitaran semula jadi yang sesuai, Tapak Perkhemahan Pengakap Beribi mampu menjadi tumpuan pelbagai aktiviti berkonsepkan eco-lifestyle, rekreasi luar rumah dan perkhemahan keluarga.
Brunei Campers dan AE Outdoor turut menyatakan hasrat untuk menjadikan program ini sebagai acara tahunan yang lebih besar dan terbuka kepada penyertaan antarabangsa pada masa hadapan.
Semua di atas: Tetamu kehormat semasa melawat antara khemah-khemah peserta.
