BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Sempena sambutan Hari Nelayan Sedunia yang diraikan pada 29 Jun setiap tahun dan Minggu Lautan Brunei 2025, Jabatan Perikanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan bersama Poni Divers dan Poni Foundation akan menganjurkan Acara Hari Nelayan khas pada 8 Julai di Pantai Jerudong.
Acara ini terbuka kepada orang ramai, khususnya peminat aktiviti memancing dan berperahu serta nelayan berdaftar, yang turut berpeluang menerima jaket keselamatan percuma. Ia bertujuan menghargai sumbangan para nelayan Brunei di samping mempromosikan kelestarian laut, keselamatan pesisir dan ketahanan komuniti nelayan dalam jangka panjang.
Di antara objektif utama acara ini ialah untuk mengiktiraf peranan penting nelayan dalam kelestarian perikanan dan keselamatan makanan negara, menyediakan latihan dan sokongan sosio-ekonomi kepada nelayan, menggalakkan pendaftaran sah dan pematuhan lesen peralatan menangkap ikan dan mengukuhkan kerjasama dengan agensi kerajaan dan kewangan serta memperkenalkan teknologi perikanan moden untuk operasi yang lebih selamat dan berkesan.
Antara sorotan utama acara ialah Bengkel Pembinaan Terumbu Buatan yang dikendalikan oleh Poni Divers, memperkenalkan kaedah pembinaan terumbu sebagai langkah pemulihan habitat laut dan populasi ikan.
Nelayan turut akan mendapat manfaat daripada taklimat pendidikan, termasuk ceramah kesedaran mengenai kawalan ketam bakau dan udang kara oleh Jabatan Perikanan serta sesi keselamatan laut oleh Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan (PBMP) untuk memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi kecemasan.
Acara turut dirasmikan oleh tetamu kehormat, Timbalan Setiausaha Tetap I di Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Haji Mohammad Yusree bin Haji Junaidi.
Ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Pemangku Pengarah Perikanan, Hajah Wanidawati binti Haji Tamat, disusuli ceramah kelestarian perikanan oleh Kumpulan Poni, penyampaian jaket keselamatan, sesi bergambar ramai dan lawatan ke gerai pameran serta aktiviti.
Bagi mempromosikan keselamatan laut, 100 nelayan pertama yang mendaftar (RSVP) layak menerima satu jaket keselamatan jika mereka mempunyai lesen peralatan perikanan dengan Jabatan Perikanan dan memegang kad pengenalan kuning. Mereka yang juga menunjukkan bukti pendaftaran bot dengan PBMP akan menerima dua jaket keselamatan.




