Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Acara jualan dalam talian Asean hari ini

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – ASEAN akan melancarkan Hari Jualan Dalam Talian (AOSD) semasa Hari ASEAN esok, 8 Ogos, acara membeli-belah dalam talian yang pertama kali dikendalikan bersama pada skala seluruh rantau.

    Perkara berkenaan dimaklumkan oleh Pihak Berkuasa Industri Teknologi Infokomunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

    Kenyataan menjelaskan, pada 15 Julai lalu, Jawatankuasa Penyelarasan E-Dagang ASEAN (ACCEC) telah melancarkan laman sesawang yang dikhaskan untuk AOSD (http://aseanonlinesaleday.com), mengetengahkan perniagaan-perniagaan yang ikut serta dalam kempen berkenaan.

    Hampir 150 perniagaan e-dagang di ASEAN dijangka menyertainya dan menawarkan pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan pada kadar promosi atau diskaun menerusi platform e-dagang mereka di AOSD.

    Penyertaan Brunei Darussalam dalam AOSD, tambah kenyataan, disokong oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan AITI.

    Vendor-vendor e-dagang tempatan yang ikut serta termasuk shopautogadget.com, Babakimpo.com, Beastmode.com.bn, Buycour.com, J3smart.com, Kadairuncit.com, Mumtazcollections.com, Naindah.com, Qafahaus.com, Healthybeauty365bn.com dan Weelago.com.

    Kenyataan menekankan bahawa sektor e-dagang ASEAN dijangka berkembang tiga kali ganda daripada AS$100 kepada AS$300 bilion pada 2025.

    Di tengah-tengah pandemik COVID-19, e-dagang telah menyaksikan pertumbuhan apabila pelanggan dan perniagaan semakin beralih kepada dalam talian.

    Pelancaran AOSD akan meningkatkan lagi trend berkenaan dan menggalakkan pelanggan dan perniagaan untuk berinteraksi dan melakukan transaksi komersial secara aktif pada
    platform bereputasi baik dan terjamin yang beroperasi di rantau ini.

    AOSD, tambah kenyataan, juga akan menyokong usaha-usaha berterusan yang dilaksanakan oleh negara-negara ahli ASEAN untuk memudahkan perdagangan dan e-dagang, mengukuhkan lagi integrasi digital dan lebih penting, menanamkan kepercayaan dan keyakinan dalam perniagaan-perniagaan ASEAN, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang kekal dinamik, kukuh dan beroperasi semasa COVID-19.

    Menurut kenyataan itu lagi, AOSD akan diadakan pada 8 Ogos setiap tahun untuk merangsang perdagangan digital serantau dan meningkatkan lagi kerjasama antara pihak berkepenti-ngan termasuk agensi-agensi kerajaan berkaitan, perniagaan-perniagaan dan pelanggan di samping meneroka inisiatif-inisiatif dasar baharu dan teknologi inovatif untuk mempromosikan aktiviti e-dagang rentas sempadan di ASEAN.

    Bagi maklumat lanjut mengenai AOSD, orang ramai boleh melayari laman sesawang www.aseanonlinesaleday.com dan www.eKadaiBrunei.bn atau menerusi e-mel info@aiti.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda