Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OKT – Setelah menyaksikan aksi-aksi hebat dan bersemangat daripada para peserta yang mengambil bahagian, Jabatan Penjara menutup tirai acara Fitness Race Prison FitX Challenge: Iron Will dengan majlis penutup dan penyampaian hadiah yang berlangsung di Kompleks Sukan, Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.
Acara yang diadakan bersempena memperingati penubuhan Jabatan Penjara ke-71 berlangsung selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Oktober.
Hadir menyempurnakan penutup dan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.
Pada acara tersebut, Yang Berhormat Dato menyertai ujian kecergasan di stesen perlawanan sebagai simbolik penutup cabaran berkenaan.
Yang Berhormat Dato juga menyempurnakan penyampaian hadiah dan sijil penghargaan kepada para pemenang dan peserta acara cabaran berkenaan.
Acara cabaran berkenaan menekankan kepentingan semangat ketahanan diri, disiplin serta kecergasan fizikal dalam kalangan pegawai dan kakitangan agensi-agensi keselamatan khususnya warga Jabatan Penjara.



