Khamis, November 20, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Acara kejohanan BN on The Move dilancarkan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 SEPT – Kejayaan acara BN on the Move terdahulu, memberi rangsangan serta inspirasi untuk meneruskan usaha menggalakkan gaya hidup yang aktif di kalangan warga dan penduduk negara setelah Kementerian Kesihatan melancarkan Kejohanan BN on the Move 2025 yang berlangsung di BIBD Connects, Taman Mahkota Jubli Emas, Bandar Seri Begawan, hari ini.

    Kempen kesihatan seluruh negara itu, yang berlangsung selama 5 bulan bermatlamat untuk menangani gaya hidup sedentari serta menggalakkan penjagaan kesihatan secara pencegahan.

    Kejohanan BN on the Move 2025 merupakan kesinambungan daripada acara BN on the Move yang telah dijalankan secara tahunan semenjak 2022 yang mana setakat ini, lebih 7 ribu orang telah menyertai Kejohanan BN on the Move 2025.

    Sehubungan dengan itu, Kejohanan BN on the Move 2025, menampilkan dua zon aktiviti utama yang penuh bertenaga iaitu acara walkaton sejauh 2.5 kilometer dan sesi senam robik yang melibatkan penyertaan aktif daripada orang ramai.

    Hadir pada majlis berkenaan serta sama-sama menyertai acara walkaton untuk menggalakkan negara bergerak ke arah gaya hidup yang lebih sihat ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

    Turut hadir dan menyertai acara walkaton berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman serta Menteri Pembangunan, Yang Berhornat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.

    Acara walkaton yang bermula dan berakhir di Taman Mahkota Jubli Emas, menyaksikan penyertaan lebih 2 ribu peserta dalam sama-sama menyebarkan mesej menggalakkan negara bergerak ke arah gaya hidup yang lebih sihat.

    Acara walkaton yang berlangsung pagi tadi.

    Pada majlis berkenaan, para menteri kabinet bersama orang ramai telah mengambil bahagian dalam sesi memanaskan badan sebelum pelepasan acara walkaton sejauh kira-kira 2.5 kilometer.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bersama para menteri kabinet menyertai sesi panas badan sebelum acara bermula.

    Dalam temu bual ringkas bersama Media Permata, Pegawai Perubatan dari Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Dr Muhammad Rieo Syafi’i bin Salor menerangkan acara BN On the Move merupakan inisiatif daripada Kementerian Kesihatan bermatlamat untuk menggalakkan serta memberi inspirasi kepada rakyat Brunei supaya meningkatkan tahap kegiatan fizikal dan mengamalkan gaya hidup sihat.

    Dr Muhammad Rieo Syafi’i yang menyertai acara berkenaan.

    Inisiatif itu, tambahnya, memainkan peranan penting dalam pencegahan dan pengawalan penyakit-penyakit yang tidak berjangkit.

    Kejohanan BN on the Move 2025, ulas Dr Muhammad Rieo Syafi’i merupakan kempen bagi meningkatkan tahap kegiatan fizikal dengan menggalakkan berjalan kaki atau meningkatkan jumlah langkah setiap hari.

    Beliau menerangkan lanjut bagi pada edisi 2025, kempen itu diperkukuhkan dengan pengenalan komponen baru iaitu pertandingan yang lebih mencabar dan lebih banyak peluang untuk memenangi hadiah jika peserta melengkapkan misi kesihatan setiap bulan dan mengumpul mata BruPoints.

    Kejohanan berkenaan terbuka kepada lima sektor iaitu Sektor Kerajaan, Sektor Swasta, Sektor Institusi Pengajian Tinggi, Sektor Orang Awam Komuniti (pasukan seramai 20 orang) dan Sektor Orang Awam Individu iaitu kategori yang baru diperkenalkan bagi 2025, bagi mereka yang lebih suka bersaing secara persendirian.

    Senarai kategori misi Langkah adalah catatan jumlah langkah sepanjang bulan dengan rekod 31,500 langkah, 63,000 langkah dan 94,500 langkah, sementara misi Aktiviti Fizikal adalah kekal aktif dengan mencatatkan jumlah masa bersenam sepanjang bulan selama 90 minit, 180 minit, 270 minit dan 360 minit senaman.

    Untuk misi Hidrasi adalah mengamalkan pengambilan air secara konsisten dengan mencatat pengambilan air selama 7 hari dan bagi misi Tidur adalah iaitu memastikan mendapatkan rehat yang mencukupi setiap hari dengan mencatat waktu tidur selama 7 hari.

    Misi Pemakanan adalah mengambil perhatian terhadap pemakanan harian dan amalkan pemakanan yang sihat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan serta bagi Daftar Masuk & Bersenam adalah mendaftar masuk di mana-mana tempat atau kawasan dengan membuat kegiatan fizikal dan lengkapkan senaman selama 30 minit.

    Orang ramai adalah dialu-alukan untuk menyertai dengan memuat turun aplikasi BruHealth secara percuma dan mendaftar bagi menyertai Kejohanan BN on the Move 2025.

    YB Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bersama-sama para menteri menyerai acara walkaton berkenaan.

    Semua di atas – Antara orang ramai yang sama-sama hadir menyahut seruan untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda