ANKARA, 13 Julai – Turki menyusun pelbagai acara bersempena ulang tahun pertama kegagalan cubaan mengguling Presiden Recep Tayyip Erdogan pada 15 Julai 2016 apabila rakyat negara ini bangun menentang perancang rampasan kuasa berkenaan.
Keberanian mereka menentang pihak tidak bertanggungjawab itu antara lain diabadikan melalui pameran foto di sini yang menghidangkan gambar yang dirakam pada malam penuh dramatik itu apabila orang ramai memenuhi jalan raya untuk mempertahankan demokrasi yang cuba dinodai.
Erdogan sendiri menziarahi pusara mereka yang menjadi mangsa dalam cubaan rampasan kuasa itu di tanah perkuburan Edirnekapi di Istanbul, manakala beberapa menteri menziarahi pusara di tempat lain untuk mendoakan kesejahteraan mereka yang terkorban berjumlah kira-kira 250 orang.
Beberapa pengajaran boleh diambil rakyat Malaysia dan negara lain daripada episod sedih dan penting dalam sejarah Turki itu, kata Duta Besar Malaysia di Turki Abdul Razak Abdul Wahab.
Diplomat berpejabat di Ankara ini berkata rakyat perlu menyuarakan apa jua sungutan mereka tentang kerajaan melalui saluran sepatutnya, bukan cuba menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokratik dengan cara yang tidak demokratik.
“Apa yang kita boleh ambil dan aplikasi pada mana-mana negara, bahkan negara kita sendiri, ialah sekiranya kita tak bersetuju dengan kerajaan sedia ada, gunakan saluran yang betul, bukan cuba ambil alih kuasa dengan bentuk sedemikian.
“Kita ada sistem pilihan raya, di situlah letaknya hak kita sebagai seorang rakyat yang bertanggungjawab terhadap negara kita,” kata Abdul Razak kepada media Malaysia yang berada di sini untuk mengikuti acara yang diatur kerajaan Turki bersempena ulang tahun cubaan rampasan kuasa itu. – Bernama