Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Acara Lampoopalooza serikan Bangunan Lembaga Pelancongan Sabah

    KOTA KINABALU, 29 Mac – Bersempena sambutan 100 tahun Bangunan Lembaga Pelancongan Sabah (LPS) di Jalan Gaya, acara Lampoopalooza yang melibatkan Seni Instalasi akan diadakan pada 5 April ini.

    Acara itu menampilkan pemasangan lampu dengan teknik pencahayaan kreatif di bangunan LPS dan kawasan sekitar Jalan Gaya.

    Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Assaffal P. Alian berkata pencahayaan kreatif tersebut bertemakan alam semula jadi negeri ini antaranya membabitkan hidupan liar, pulau dan kebudayaan.

    Kandungan pencahayaan kreatif itu dibuat oleh pelajar Pusat Animasi Kandungan Kreatif Sabah (SAC3) dengan persembahan kemuncak acara ini adalah paparan visual luar paling besar dilakukan atas bangunan STB, katanya pada sidang media di sini, hari ini.

    Beliau berkata acara itu bermula pukul 6 petang hingga 11 malam yang akan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Christina Liew.

    Menurutnya penganjuran acara itu yang akan dijadikan acara tahunan merupakan usaha diambil oleh LPS untuk menambah nilai tarikan pelancongan yang terdapat di Jalan Gaya di ibu negeri.

    Bangunan LPS dirasmikan pada 1918 oleh Gabenor Syarikat Berpiagam Borneo Utara British sebelum diubah suai untuk menempatkan pejabat perbendaharaan, audit, bank dan pejabat pos sehingga 1986.

    Kerajaan negeri mewartakan bangunan LPS pada 1988 sebagai bangunan bersejarah dan menjalani pemulihan sebelum dibuka semula pada 1991 untuk dijadikan sebagai pejabat LPS. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda