PRAGUE, 24 OGOS – Penganjur maraton Prague berkata kelmarin bahawa mereka mengambil keputusan untuk membatalkan perlumbaan edisi tahun ini disebabkan oleh peraturan COVID-19 di negara tersebut.
“Dengan sekatan yang sedang berjalan ketika ini disebabkan oleh pandemik, bermula dengan berperingkat, penjarakan fizikal, kawasan teknikal yang terhad, kawalan bagi ujian dan vaksinasi, ke-semuanya dirasakan tidak akan dapat diberikan jaminan tahap acara yang anda semua jangkakan daripada kami,” menurut penganjur dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Edisi 2020 sebelum ini turut dibatalkan di tengah-tengah gelombang pertama COVID-19, sementara perlumbaan asal bagi 2021 dijadualkan berlangsung pada Mei terpaksa ditunda sehingga 9 Oktober.
“Kami telah mengambil keputusan yang sangat sukar bagi kami. Kami memutuskan untuk menunda perlumbaan sehingga (Mei) 2022,” tambah penganjur.
Terdahulu, mereka juga membatalkan acara Separa Maraton Prague dan Grand Prix 10km, kedua-dua acara dijadualkan pada awal September.
Republik Czech sebelum ini telah melonggarkan sekatan COVID-19 seperti perhimpunan awam sejak musim luruh, namun sebahagian sekatan terus dikekalkan.
Negara berpenduduk 10.7 juta orang itu mencatatkan antara 100 hingga 300 kes harian baharu COVID-19. – AFP