Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar Serahan Progresif
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Berikutan pelancaran Progresif Media untuk web baru-baru ini, syarikat berkenaan telah mengadakan acara maya dinamakan ‘Sepetang bersama Progresif Media’ yang telah menyaksikan pengumuman penambahbaikan aplikasi Progresif Media untuk pengguna peranti iOS dan Android.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Progresif, dengan penambahbaikan berkenaan, pelanggan kini berpeluang untuk mengakses penstriman kandungan tempatan merentasi semua platform, melalui laman web dan aplikasi mudah alih Progresif Media.
Sebagai sebahagian daripada acara maya berkenaan, Progresif Media turut memperkenalkan Progresif Media Original serba baharu dengan tayangan perdana secara langsung bagi episod pertama siri ‘Kitani’, terbitan YouTuber tempatan, Syafi Halim yang juga me-ngarahkan siri tersebut.
Semasa acara berkenaan, penonton berpeluang berinteraksi dengan Syafi Halim serta bertemu barisan pelakon dan kru ‘Kitani’.
Ditanya apa yang boleh dijangkakan daripada siri itu, beliau berkata bahawa penonton boleh menjangkakan sesuatu yang tidak pernah dihasilkan di Brunei dan diharap memberi inspirasi kepada orang ramai untuk menyokong dan mengambil bahagian dalam industri filem tempatan.
‘Kitani’ diterbitkan oleh New Wave Films mempunyai enam episod dengan bahasa Melayu Brunei sebagai bahasa yang digunakan secara meluas.
Semasa acara maya itu, penonton juga berpeluang memenangi hadiah termasuk barangan Progresif Media, pas langganan dan mini iPad serba baharu.
Ketua Progresif Media, Olivia Ong dipetik berkata, ini adalah masa yang menarik untuk Progresif Media dan dalam bulan-bulan akan datang, Progresif Media Originals yang baharu dan eksklusif akan dikeluarkan setiap bulan.
Acara secara maya itu bertujuan untuk meraikan pencipta kandungan tempatan sambil memberikan hiburan percuma kepada orang Brunei pada masa sukar ini.
Selain itu, Progresif turut bekerjasama dengan vendor makanan dan minuman tempatan iaitu Eat’s Hot, The Thirsty Habit, Top Folk, The Potato Habit, Tasconi’s Pizza Brunei, ChaTraMue Brunei dan The Coffee Bean & Tea Leaf Brunei untuk mengambil peluang membantu menyumbang kepada kejayaan acara berkenaan.