Sunday, May 11, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Acara penanaman pokok sempena HUT ABDB

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Sempena sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) ke-61, Kementerian Pertahanan telah mengadakan acara penanaman pokok secara serentak di semua perkhemahan ABDB, dengan tumpuan utama di Bolkiah Garison, pada petang tadi.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Razak bin Haji Abd. Kadir yang seterusnya menanam sepohon pokok jenis Tabebuia Rosea

    Manakala, Pemerintah ABDB hadir selaku tetamu kehormat bagi majlis penanaman pokok di Perkhemahan Regimen Pasukan Khas, Setiausaha Tetap (Dasar, Kewangan dan Pentadbiran) di Perkhemahan Tanah Jambu dan Setiausaha Tetap (Pembangunan, Pemeliharaan dan Teknologi) di Penanjong Garison.

    Turut hadir pada acara ialah pemerintah angkatan bersama ABDB, timbalan-timbalan setiausaha tetap, timbalan-timbalan pemerintah angkatan tentera dan angkatan bersama, pengarah-pengarah tentera dan awam serta pegawai-pegawai dan anggota Kementerian Pertahanan dan ABDB.

    Acara dimulakan dengan sesi bergambar ramai, diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pemangku Pengarah Jabatan Agama ABDB.

    Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan alu-aluan diikuti dengan acara menanam pokok dan diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran.

    Sebanyak 640 pokok jenis Bucida Molinetti, Tabebuia Rosea dan Syzygium Campanulatum ditanam di Bolkiah Garison dan seluruh perkhemahan ABDB. 

    Acara penanaman pokok tersebut merupakan salah satu inisiatif yang diungkayahkan oleh Kementerian Pertahanan dalam mendukung Garis Panduan Protokol Hijau di bawah Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau di premis-premis Kementerian Pertahanan dan ABDB.

    Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Razak semasa menghadiri acara penanaman pokok yang diadakan di Bolkiah Garison, kelmarin. – Gambar serahan Kementerian Pertahanan
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda