Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 SEPT – Suruhanjaya Tinggi India di Brunei Darussalam menganjurkan penutup perayaan yang sebelum ini diadakan selama dua tahun bagi memperingati ulang tahun ke-150 kelahiran Mahatma Gandhi pada 27 September lalu.
Menurut kenyataan daripada Suruhanjaya Tinggi India, hari ini, acara itu diisikan dengan ceramah mengenai Gandhi yang disampaikan oleh dua pakar iaitu Dr Versha Das dan Dr Jasbir Chawla.
Dr Versha Das yang merupakan bekas pengarah Muzium Kebangsaan Gandhi, New Delhi antara lain menggariskan mengenai tema The Timelessness of Gandhi dan dalam ceramahnya, beliau menyentuh mengenai pengajaran dan falsafah universal Gandhiji seperti tanpa kekerasan, keamanan dan persaudaraan, humanisme, belas kasihan dan kebenaran.
Manakala DrJasbirChawlapula yang merupakan seorang tokoh sastera terkenal menyentuh mengenai ‘pemikiran Gandhian mengenai dunia pasca COVID.’
Terdahulu itu, Pesuruhjaya Tinggi India, Tuan Yang Terutama Ajaneesh Kumar berkongsi beberapa pengetahuanmengenai falsafah Gandhian dan seterusnya menjelaskan mengenai beberapa acara penting yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Tinggi India mengenai 150 tahun Gandhi untuk sepanjang tempoh dua tahun ini.
Acara tersebut menyaksikan pemasangan 500 lampu solar oleh 500 pelajar dari 10 sekolah di Brunei dengan objektif untuk meningkatkan kesedaran mengenai perubahan iklim dengan menggunakan tenaga suria.
Beberapa acara juga turut diadakan sebelum ini oleh Persatuan India Belait (IAB) seperti pertandingan melukis, mewarna, pidato Mahatma Gandhi dan banyak lagi.
