Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Setelah lima hari jualan ala gudang dibukakan kepada kunjungan orang ramai dan mendapat sambutan yang meriah, The Warehouse Market 2020 telah menutup tirainya, malam ini, dengan acara-acara penyampaian hadiah yang berlangsung di Kawasan Letak Kereta Bawah Tanah Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), di ibu negara.
Bagi Peraduan The Graffiti Showdown, lima pelukis teratas telah dipilih oleh Guerilla Artchitects dan D’Sunlit Sdn Bhd yang membawa pulang hadiah berupa wang tunai berserta barangan Guerilla Artchitect manakala peserta lainnya menerima sijil penyertaan.
Muncul di tempat pertama ialah Awang Mohammad Abdul Azim bin Bahar, manakala Awang Mohd Lutfi bin Haji Tarip di tempat kedua, Awang Abdul Khaliq bin Haji Ali Hamzah (ketiga), Awang Muhammad Wa’ie bin Haji Jeffery (keempat) dan Haji Ahmad Zukhairi bin Haji Matzin di tempat kelima.
Acara jualan besar-besaran anjuran D’Sunlit Sdn Bhd yang mengumpulkan para perniagaan tempatan di bawah satu bumbung dengan menawarkan pelbagai produk yang menarik juga telah menerapkan langkah pencegahan kesihatan dan keselamatan berterusan berdasarkan peraturan dan undang-undang yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa yang berkaitan sepanjang berlangsungnya acara tersebut.
