Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JULAI – Sebagai usaha untuk mencungkil bakat murid-murid, Sekolah Tunas Jaya (STJ) PGGMB Madang mengadakan acara persembahan, Kindergarten Showcase, bagi murid-murid Kg 1 hingga Kg 3 yang berlangsung di sekolah berkenaan, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Yang Dipertua PGGMB, Haji Mustapa bin Haji Masri. Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua PGGMB, Pengiran Haji Hamzah bin Pengiran Haji Mohamad; Pengerusi Tetap PGGMB, Hajah Hanipah bintu Haji Apong; Setiausaha Agung PGGMB, Yakub bin Haji Abdul Rahman; Setiausaha Kewangan PGGMB, Haji Juned bin Haji Ramli; Guru Besar STJ PGGMB Madang, Dayang Suraimah binti Kawi; guru-guru besar STJ PGGMB Belait, Lambak, guru-guru KG 1- 3, ibu bapa serta penjaga murid-murid.
Dayang Suraimah menerangkan bahawa acara Kindergarten Showcase merupakan salah satu inisiatif pihak sekolah bagi mencungkil potensi serta bakat murid-murid dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah seperti menyanyi, bercerita dan berlakon.
Majlis telah diisikan dengan pelbagai aktiviti seperti persembahan pentas dan tarian daripada KG 3, peragaan fesyen pakaian dalam kalangan murid-murid KG 1, tarian daripada KG 1, pertandingan bercerita dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu daripada murid KG 1 hingga KG 3 dan seterusnya penyampaian hadiah kepada murid-murid yang berjaya oleh Haji Mustapa.
Majlis berkenaan menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada ibu bapa dan penjaga murid di mana mereka menzahirkan rasa kesyukuran dan terima kasih kepada pihak sekolah kerana mengadakan acara yang memperlihatkan bakat, potensi dan kemahiran anak-anak mereka.