Sunday, May 11, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Acara promosi kemajuan teknologi, TechXpo kembali lagi

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MEI – Platform terkemuka Brunei Darussalam dalam bidang teknologi dan inovasi, TechXpo edisi ketujuh akan kembali pada tahun ini setelah terhenti selama lima tahun sejak kali terakhir diadakan pada 2019.

    TechXpo 2025 dijadualkan berlangsung pada 14 hingga 16 Ogos nanti bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas dengan tema yang mengetengahkan aspirasi masa depan, Innovate Tomorrow.

    Acara berprestij ini sekali lagi mengukuhkan peranannya sebagai satu platform nasional utama yang mempromosikan kemajuan teknologi serta menyokong hasrat negara ke arah masyarakat celik digital selaras dengan visi negara sebagai sebuah Smart Nation.

    Sehubungan itu, satu Majlis menandatangani perjanjian dan sidang media diadakan kelmarin sebagai simbolik pemeteraian kerjasama di antara InfoCom Federation Brunei (IFB) dan D’Sunlit Sdn Bhd.

    Majlis berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi IFB, Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Abdul Latiff dan Ketua Komunikasi Korporat D’Sunlit Sdn Bhd, Dayang Ting Chui San.

    TechXpo 2025 dianjurkan bersama oleh IFB, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang mewakili industri ICT negara, dengan D’Sunlit Sdn Bhd selaku pengurus acara yang dilantik secara rasmi.

    Sejak penganjuran sulungnya pada 2010, TechXpo telah menjadi platform strategik yang menghimpunkan pemegang amanah dari dalam dan luar negara termasuk agensi kerajaan, pemain industri, institusi akademik serta orang ramai bagi berkongsi, mempamer dan menjana penyelesaian inovatif.

    Edisi tahun ini bakal tampil lebih dinamik, dengan visi yang lebih luas selaras menyokong perjalanan Brunei ke arah menjadi negara pintar dan ekonomi berpengetahuan yang berdaya tahan secara digital.

    Antara tumpuan utama yang akan diketengahkan termasuk kecerdasan buatan (AI), teknologi kewangan (FinTech), penyelesaian Smart Nation dan pelbagai inovasi baharu yang menyokong keterhubungan, kecekapan dan pembangunan mampan.

    Selain pameran, pelbagai seminar khas, siri ceramah industri dan bengkel profesional turut akan diadakan oleh tokoh-tokoh atau pakar dalam bidang masing-masing bagi menyemai pembelajaran, merangsang dialog bermakna serta memberi inspirasi kepada laluan baharu dalam inovasi dan pelaburan.

    Turut berlangsung serentak dengan acara utama ialah BIMP-EAGA ICT CEO Forum dan BIMP-EAGA ICT Cluster Meeting yang menghimpunkan para eksekutif kanan, pegawai kerajaan dan ahli profesional ICT dari kawasan Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina East ASEAN Growth Area (BIMP-EAGA).

    Tidak ketinggalan, TechXpo 2025 juga disusun untuk memberi pengalaman yang menyeronokkan dan interaktif kepada orang ramai, keluarga, pelajar dan peminat teknologi melalui ruang pameran yang luas dengan gerai interaktif, demonstrasi langsung dan pameran berasaskan pengalaman yang mempamerkan teknologi pengguna dan inovasi terkini dari seluruh dunia.

    Memeriahkan lagi acara ialah sesi Cabutan Bertuah Utama juga akan diadakan dengan pelbagai hadiah eksklusif berupa produk teknologi terkini dari peringkat global.

    Seiring dengan usaha Brunei Darussalam dalam merealisasikan transformasi digital dan aspirasi Smart Nation, TechXpo 2025 menyeru penyertaan daripada semua lapisan masyarakat bagi menjayakan pameran berkenaan yang menekankan pentingnya inovasi, kerjasama strategik dan kemajuan teknologi.

    Majlis menandatangani perjanjian TechXpo edisi Ke-7 diantara D’Sunlit Sdn Bhd dengan InfoCom Federation Brunei (IFB).
    Dokuman yang telah ditandatangani.
    Atas & Bawah: Sidang media yang diadakan semasa majlis berkenaan.

    Antara yang hadir ke majlis berkenaan.
    Sesi bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda