Monday, November 18, 2024
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Acara pupuk budaya pemilikan rumah

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 NOV – Sebagai sebahagian daripada komitmen bagi pembangunan komuniti, memupuk budaya pemilikan rumah dan menyokong perniagaan tempatan, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah membuka tirai acara BIBD Home Showcase bagi Edisi Mega 30 bertempat di BIBD Cawangan Kiulap, petang tadi.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis perasmian bagi acara yang berlangsung selama empat hari sehingga 19 November itu ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak.

    Bertemakan Rumah Masa Depan, acara yang dibukakan untuk kunjungan orang ramai dari pagi hingga malam itu diadakan sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-30 bank tersebut dengan tujuan untuk menjadi sebuah pusat sehenti dengan menawarkan kepada bakal pembeli rumah keupayaan bagi meneroka pilihan pembiayaan perumahan yang disediakan oleh BIBD.

    Pengunjung juga dapat membuat pilihan daripada pelbagai jenis rumah yang sudah siap, melibatkan diri dengan kontraktor berpengalaman, serta mendapatkan inspirasi daripada trend terkini dalam reka bentuk dalaman rumah yang mampan.

    Pengungkayahan acara berkenaan juga sebagai komitmen BIBD yang lebih besar untuk menyokong inisiatif-inisiatif kerajaan yang bertujuan bagi meningkatkan aksesibiliti dan kemampuan perumahan untuk masyarakat.

    Dr Nor Imtihan semasa merasmikan acara berkenaan. Turut hadir ialah Pengarah Urusan BIBD dan Ketua Pegawai Eksekutif, Awang Junaidi bin Haji Masri. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Acara ini juga bertujuan untuk menyokong golongan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tanah air, di mana lebih 50 perniagaan tempatan telah mengambil bahagian sekali gus menjadikannya platform untuk mereka mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka.

    Komitmen ini mencerminkan peranan aktif BIBD dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Negara Brunei Darussalam dan menyokong wawasan negara untuk pembangunan PMKS yang mantap.

    Menariknya, para pengunjung acara berkenaan turut berpeluang memenangi hadiah istimewa seperti perjalanan menunaikan ibadah umrah, pakej percutian ke London atau Jepun, peralatan rumah daripada jenama seperti SMEG, Dyson dan sebagainya.

    Sepanjang acara berlangsung, ia turut akan menyaksikan penyampaian hadiah bagi pelbagai acara kempen dan promosi BIBD, termasuk BIBD Coffee Delights, Penyampaian Hadiah Bulanan BIBD Mega 30, Cabutan Langsung BIBD Aspirasi dan hadiah pembentangan promosi BIBD x Si Manja Pet Grooming Spa.

    Sesi Bicara Santai turut akan diadakan pada Jumaat dan Sabtu yang akan dihoskan oleh panel pakar yang terdiri daripada wakil Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Kementerian Pembangunan; Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi), arkitek dan ejen hartanah berpengalaman, syarikat reka bentuk dalaman serta pakar pembiayaan rumah BIBD. Bakal pemilik rumah dan mereka yang berminat digalakkan mendaftar untuk perbincangan panel dengan melayari laman Instagram BIBD.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda