Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Dalam usaha mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dengan ahli Persatuan Belia Kampung Lambak (PERBEKAL), persatuan berkenaan telah menganjurkan Riadah Bersama Keluarga di Pantai Peranginan Muara, baru-baru ini.
Acara berkenaan dengan tema Keluargaku Masa Depanku itu telah disertai oleh lebih 100 ahli persatuan dengan mempertandingkan 20 acara mengikut kategori umur.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada pemenang acara yang dipertandingkan ialah Yang DiPertua Persatuan PERBEKAL, Pengiran Haji Nordin bin Pengiran Haji Mahmud.
Acara tersebut telah dibahagikan kepada tiga kumpulan dengan menggunakan warna dan nama ikan iaitu kumpulan rumah hijau dengan ‘Ikan Kitang’, rumah biru pula dengan ‘Ikan Bebatik’ serta rumah merah dengan ‘Ikan Kerapu’.
Acara dimulakan dengan bacaan surah Al Fatihah dan doa selamat oleh Pengerusi Tetap, Haji Zakaria bin Haji Liman, manakala taklimat pertandingan disampaikan oleh Timbalan Yang DiPertua, Pengiran Mahari bin Pengiran Haji Md Tahir selaku Pengerusi Bersama.
Turut hadir di majlis tersebut Pengerusi Berterusan, Pengiran Jofri bin Pengitan Haji Zaidi; Naib Yang DiPertua 1, Siti Seriana bte Haji Mohd Yusof dan Pengiran Abd Aziz bin Pengiran Haji Md Tahir.