Acara sambutan keputeraan dipenuhi majlis keagamaan

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JULAI – Dengan mengambil kira langkah berhati-hati berikutan jangkitan wabak COVID-19, acara Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada tahun ini agak berbeza, tetapi semangat rakyat, tetap segar dan tidak pudar.

Walaupun sebahagian acara tidak dapat diadakan, namun salah satu acara besar, iaitu sembahyang dan membaca Doa Kesyukuran masih dapat diteruskan.

“Ini bererti, sambutan tetap unggul, masih berhias dengan ibadat, bersimbah dengan cahaya zikir dan Al-Quran dan ditanai dengan doa, munajat kepada Allah memohonkan keselamatan raja.

“Perlu disedari, bahawa hikmah kita berkumpul dalam acara seperti ini adalah ia dikategorikan sebagai majlis ilmu, di mana majlis ilmu itu menurut hadis, dikongsi sama oleh para malaikat membawa kerahmatan dan keberkatan.”

Perkara tersebut ditekankan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned ketika menyampaikan Ceramah Khas Sempena Dirgahayu Raja Kita yang disiarkan melalui Radio dan Televisyen Brunei pada 17 Julai lalu.

Yang Berhormat Mufti Kerajaan semasa menyampaikan Ceramah Khas Sempena Dirgahayu Raja Kita yang disiarkan melalui Radio dan Televisyen Brunei pada 17 Julai lalu.

Dalam ceramah itu, Yang Berhormat Pehin berkata, dalam meraikan ulang tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, sangatlah sesuai malah besar faedahnya merista-rista amal kebajikan Baginda.

“Kerana amal-amal kebajikan raja itu adalah berstatus pimpinan dan tauladan untuk dicontohi. Kedua, amal kebajikan juga adalah satu jenis nikmat yang sangat disukai oleh Allah, dan malah menyuruh supaya setiap nikmat itu disebut-sebut selalu,” ujar beliau.

Yang Berhormat Pehin menyentuh mengenai Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) yang menurut beliau satu contoh bukti kepemurahan Baginda Sultan.

Antara tujuan penubuhan yayasan berkenaan adalah merangkumi aspek-aspek keagamaan, kebajikan, pendidikan dan pembangunan, selaku amal jariah raja dan kerabat Baginda.

Selain sedekah atau sumbangan melalui Yayasan, katanya, Baginda Sultan juga mempunyai skim lain, berupa kurnia peribadi Baginda kepada golongan tertentu yang di-
sampaikan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Pada tahun 2018, jumlah penerima di seluruh negara ialah 19,576 orang, pada 2019 penerima berjumlah 19,913 orang dan pada 2020 jumlah itu meningkat seramai 21,454 orang.

Dalam keseluruhan jumlah pada setiap tahun ini, tegas Yang Berhormat Pehin, Allah tetap melihat kepada hati-hati para penerima itu melonjak kegembiraan dan penuh bersyukur.

“Jadi, tidakkah kerana adanya amal kebajikan yang mengembirakan ini, Allah akan membalas dengan rahmatNya siapa yang menjadi punca berlakunya kegembiraan itu, iaitulah raja kita, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.”