Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Ogos – Orang ramai yang berkunjung ke Bandarku Ceria, di ibu negara pada 12 Ogos nanti adalah dialu-alukan untuk sama-sama menyertai dan mengambil bahagian dalam acara Sesi Senaman Beramai-ramai yang akan diadakan di kawasan Jalan Sultan, di sini bermula pukul 8:15 pagi.
Aktiviti senaman anjuran Sosro Brunei itu adalah bersempena dengan Hari Belia Antarabangsa 2018 di mana acara itu dibukakan penyertaan untuk semua di mana mereka boleh sama-sama bersenam dan mengambil bahagian dalam pelbagai acara yang menarik.
Para pengunjung boleh mengambil bahagian dalam kegiatan senaman ‘U-Jam’ serta berpeluang untuk mendapat minuman Sosro percuma serta kemeja-T bagi mereka yang mendaftar bagi acara itu sehingga stok masih ada.
Menurut Pengurus Pemasaran Syarikat Rajamas Bersama, Awangku Danny bin Pengiran Tajuddin, acara senaman itu merupakan salah satu cara bagi mereka untuk memberikan sumbangan kepada masyarakat dalam sama-sama menggalakkan gaya hidup yang aktif dan sihat.
Ia diadakan bersempena dengan Hari Belia Antarabangsa, jelasnya, dengan hasrat untuk mendekati golongan belia supaya sama-sama mengambil bahagian dalam kegiatan riadah dan senaman bagi mempromosikan gaya hidup yang seimbang.