Oleh Daniel Lim
BELAIT, 4 OGOS – Pelajar tadika dan sekolah rendah dari Sekolah St Margaret berpeluang beraksi di padang dalam pelbagai acara sukan yang menyeronokkan semasa Hari Sukan Mini tahunan sekolah berkenaan baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat adalah ahli Lembaga Pengarah sekolah, Dicky Tiong Chiong Jing dan turut hadir adalah para guru, serta ibu bapa dan penjaga,.
Kesemua peserta dan para hadirin semuanya dialu-alukan oleh pengetua sekolah, Liew Yong Kim, dan pengerusi penganjur pada hari tersebut dan juga guru sekolah berkenaan, Dayang Hasmah binti Haji Awi.
Dalam ucapan perasmiannya, Dayang Hasmah menekankan kepentingan acara sebagai salah satu daripada peluang untuk belajar di luar bilik darjah.

“Hari Sukan ini bukan sahaja tentang pertandingan; ia adalah mengenai penyertaan, keseronokan, dan meraikan semangat perpaduan dan semangat kesukanan. Daripada acara Larian Lingkaran Tadika hingga Frog Hop Tahun 3, setiap acara direka untuk mempromosikan keseronokan, kerja berpasukan dan keyakinan dalam diri pelajar kami,” tambahnya.
Selepas ucapan perasmian acara dari tetamu kehormat, peserta mengangkat sumpah kesukanan bagi menjunjung semangat kesukanan dan perpaduan.


Sesi memanaskan badan yang singkat kemudiannya diadakan sebelum peserta bersemangat berbaris untuk bersaing dalam permainan sukan masing-masing, sambil disokong guru, ibu bapa dan penjaga dengan sorakan gembira kepada anak-anak mereka.
Bagi setiap aktiviti yang dipertandingkan, pingat diserahkan kepada pemenang utama permainan oleh tetamu yang dijemput hadir.
Semua di atas: Antara aktiviti semasa acara berkenaan.

