Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Acara Sukan Mukim-mukim dirasmikan

    Oleh Sim Y.H. – 

    TEMBURONG, 31 OGOS – Dalam usaha menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti sukan dan riadah, Acara Sukan Mukim-mukim Senegara Sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-79 berlangsung di Kompleks Sukan Batu Apoi, Temburong, hari ini.

    Perasmian acara sukan-sukan mukim berkenaan disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

    Terdahulu sebelum merasmikan acara berkenaan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin mengambil bahagian dalam acara berbasikal yang bermula dari BIBD Connects, Labu Square menuju ke lokasi acara sukan iaitu Kompleks Sukan Batu Apoi.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Hassan Baha bin Haji Umar.

    Selepas menyempurnakan perasmian acara sukan berkenaan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin juga diperkenalkan kepada pasukan-pasukan berbasikal dan pasukan-pasukan yang mengambil bahagian dalam acara sukan tersebut.

    Beliau juga mengambil bahagian dalam sesi memanaskan badan serta mengadakan lawatan ke gerai vendor yang menjual produk-produk tempatan.

    Acara sukan mukim-mukim senegara bermatlamat untuk memupuk semangat perpaduan dan kerjasama antara penduduk mukim dan kampung, meningkatkan kesedaran mengenai gaya hidup sihat melalui aktiviti fizikal, mewujudkan jaringan kerjasama antara majlis perundingan mukim seluruh negara serta memupuk bakat sukan tempatan dalam kalangan penduduk kampung.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin menyempurnakan perasmian acara sukan berkenaan. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda