Saturday, December 21, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Acara sukaneka galak gaya hidup sihat

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    TUTONG, 10 NOV – Kementerian Kesihatan melalui Jabatan Perkhidmatan Renal telah menganjurkan acara Sukaneka Pesakit Renal bersempena dengan Hari Buah Pinggang Sedunia 2024, yang bertempat di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong, hari ini.

    Acara berkenaan diadakan untuk mewujudkan kesedaran mengenai kesihatan buah pinggang dan untuk menggalakkan gaya hidup sihat kepada pesakit, ahli keluarga mereka dan juga kakitangan Kementerian Kesihatan, khususnya mereka yang bertugas di Jabatan Perkhidmatan Renal.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada acara ini ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Ketua Guru Ugama, Jabatan Perkhidmatan Renal, Haji Mohammad Azmi bin Haji Tapau.

    Ia diikuti dengan perarakan peserta, sesi senamrobik dan seterusnya majlis pelancaran acara tersebut oleh tetamu kehormat.

    Sebanyak lima pasukan yang bertanding, terdiri daripada gabungan 75 orang pesakit renal serta kakitangan Jabatan Perkhidmatan Renal dari kesemua daerah.

    Pelbagai jenis permainan dan aktiviti diadakan seperti menyelesaikan teka-teki; membawa bola dengan sudu; memasukkan bola ke dalam jaring (Dunkin ball), blind ball, shoot & target dan memancing botol.

    Antara objektif acara berkenaan ialah untuk memberi peluang kepada kakitangan, pesakit-pesakit buah pinggang dan keluarga mereka untuk mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang menggalakkan kesihatan.

    Turut hadir pada acara tersebut ialah pegawai-pegawai dan kakitangan di Kementerian Kesihatan.

    Selain itu, acara itu juga dilaksanakan untuk menggalakkan gaya hidup sihat dan mengukuhkan hubungan silaturahim antara komuniti yang terdiri dari pesakit-pesakit dan ahli keluarga mereka bersama kakitangan-kakitangan yang bertugas di Jabatan Perkhidmatan Renal.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham semasa merasmikan acara Sukaneka Pesakit Renal bersempena dengan Hari Buah Pinggang Sedunia 2024. Sukaneka tersebut diadakan adalah untuk menggalakkan gaya hidup. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bergambar ramai semasa acara sukaneka yang diadakan di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong, kelmarin. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    ATAS & BAWAH : Antara permainan yang dianjurkan pada acara tersebut. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda