KUALA LUMPUR, 31 OKT – Acara tahunan ke-13 Alibaba iaitu Festival Beli-belah Global 11.11 2021 – acara global terbesar yang pernah dianjurkan oleh gergasi e-dagang China, Alibaba Group Holding Ltd dijangka dapat memperkayakan ekosistem e-dagang dengan menampilkan pendekatan kemampanan dan keterangkuman tahun ini.
Ketua Pegawai Pemasaran Alibaba Group, Chris Tung berkata festival tahun ini adalah yang terbesar setakat ini dengan penekanan terhadap kemampanan dan keterangkuman untuk peruncit, peniaga dan pengguna awam.
“Tahun ini, festival berkenaan memberi tumpuan kepada keterangkuman dan kemampanan, mengetengahkan lebih 290,000 jenama yang mengambil bahagian, dengan lebih 14 juta tawaran untuk 900 juta pengguna di China. Ini adalah peluang untuk lebih ramai pengguna terlibat dengan lebih banyak jenama dari seluruh dunia.
“Ini akan menjadikan ia lebih bermakna selain dilihat dapat memainkan peranan penting dan berpengaruh dalam menggalakkan tindakan mampan dan menggalakkan keterangkuman dalam masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media melalui zoom, bersempena Festival Beli-belah Global 11.11 Alibaba 2021 yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Tung berkata kumpulan itu pada masa ini memberi tumpuan membina sistem nilainya untuk komuniti dan masyarakat secara keseluruhan dengan inisiatif baharu yang berpaksikan pendekatan kelestarian mesra alam dan kebaikan sosial melalui program ‘Goods for Good’. – Bernama
