Ahad, 23 November 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Acara tahunan beri peluang bina rangkaian

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MEI – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Undang-undang Sultan Haji Hassanal Bolkiah, kelmarin, telah mengadakan acara Makan Malam Undang-undang Tahunan di Tarindak D’Seni. 
     
    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Haji Abdullah Soefri bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
     
    Dalam ucapannya, Haji Abdullah Soefri antara lain menjelaskan, sebagai satu-satunya fakulti undang-undang di Brunei yang menawarkan Sarjana Muda Undang-undang (LLB) dan Sarjana Muda Perundangan Syariah (BSL), UNISSA memegang peranan yang unik dan penting dalam membentuk masa depan profesion undang-undang di negara ini.
     
    “Universiti bukan sahaja menyediakan latihan akademik yang ketat, tetapi ia juga menerapkan nilai-nilai perundangan Islam, etika dan kepimpinan yang penting untuk sistem perundangan.
     
    “Penekanan universiti terhadap pemahaman yang komprehensif tentang kedua-dua undang-undang sivil dan syariah menyediakan peguam masa depan untuk mengemudi sistem dwi perundangan kita dengan yakin dan cekap,” jelasnya.
     
    Majlis berkenaan merupakan salah satu kursus wajib bagi mahasiswa dan mahasiswi Tahun 3 dan 5 bagi program LLB dan BSL. 
     
    Ia diadakan bagi memberikan peluang kepada para mahasiswa dan mahasiswi untuk berinteraksi dengan jemputan-jemputan yang hadir sambil bertukar-tukar pandangan, menerokai dunia amalan, perundangan dan dunia pembelajaran.
     
    Ini termasuk kemahiran dan persediaan yang perlu ada pada setiap pelajar sebelum melangkah ke dunia perundangan dan amalan.
     
    Majlis dimeriahkan lagi dengan persembahan-persembahan oleh mahasiswa dan mahasiswi yang telah mengikuti program berkenaan.
     
    Haji Abdullah Soefri semasa menghadiri acara berkenaan, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH FADLEY FAISAL
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda