Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Acara tanam pokok sempena Hari Keamanan Antarabangsa

    Oleh Daniel Lim – 

    BELAIT, 29 SEPT – Bersempena dengan Hari Keamanan Antarabangsa, kira-kira 300 orang pemimpin dan ahli pengakap di seluruh negara berkumpul untuk menyertai acara penanaman pokok di Tapak Penanaman Pokok Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) di Kampung Sungai Mau, Mukim Bukit Sawat, Daerah Belait, kelmarin.

    Dengan tema Act Now for A Peaceful World, acara dihadiri oleh Pemangku Pengarah Jabatan Perhutanan, Awang Reni bin Haji Yahya selaku tetamu kehormat.

    Turut hadir ialah Yang Di-pertua PPNBD, Dato Paduka Ar Haji Idris bin Haji Abas, dan Ketua Pesuruhjaya PPNBD, Haji Junaidi bin Haji Hussin.

    Acara dimulakan dengan Persetiaan yang diketuai oleh ahli Sekretariat Pengakap Kelana Kebangsaan, Awang Afiq Zaki bin Suhaili, diikuti dengan bacaan Doa Selamat dipimpin oleh Pengakap Kelana Terbuka Tutong, Awang Muhammad Aqil Arfan bin Arjune.

    Ucapan alu-aluan disampaikan oleh Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Alam Sekitar merangkap Ketua Penyelaras Hari Keamanan Antarabangsa, Skipper Mohammed Sufri @Bohari bin Haji Sabli.

    Awang Reni bergambar ramai bersama ahli-ahli pengakap yang terlibat. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Sebahagian daripada ketua dan ahli pengakap menanam anak pokok pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    Dalam ucapannya, beliau menekankan mengenai kepentingan acara tersebut yang mana ia bukan sahaja untuk memperingati Hari Keamanan Antarabangsa, namun ia juga untuk memperingati Hari Kebersihan Dunia, Hari Skaf Sedunia dan Hari Bersama Pelatih.

    “Acara ini diadakan bertujuan untuk menyemai semangat keamanan dan perpaduan sejagat melalui aktiviti hijau. Selain itu ia juga untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan alam sekitar, dan untuk menyokong usaha global ke arah dunia yang lebih lestari melalui sumbangan kecil tapi bermakna,” jelasnya.

    Sementara itu, Skipper Mohammed Sufri @Bohari juga mengimbas kembali bagaimana persediaan yang dilakukan pada minggu lalu sebelum acara ini dijalankan, dengan mengadakan kempen kebersihan di sekitar premis oleh ahli penggakap seluruh negara.

    Sebagai simbol keamanan dan kelestarian, majlis turut diserikan dengan aktiviti penanaman sebanyak 30 anak benih pokok yang terdiri daripada beberapa spesis pokok hutan tempatan seperti mang, resak durian dan suma.

    Tiga spesies itu dipilih atas nasihat pihak Tapak Semaian Sungai Liang berdasarkan jenis tanah di tapak penanaman pokok berkenaan. Kawasan Sungai Mau kaya dengan nilai ekologi, sesuai dijadikan habitat semula jadi, serta berpotensi menjadi kawasan teduhan, rekreasi dan tapak latihan untuk masyarakat amnya dan pengakap khasnya pada masa akan datang.

    Semasa acara itu juga, Skipper Mohammed Sufri @Bohari meluahkan harapan agar inisiatif seumpamanya akan dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penyertaan lebih ramai lapisan masyarakat, sekali gus menyemarakkan kesedaran tentang pentingnya keamanan dan kelestarian alam sekitar.

    Para peserta juga disarankan agar menjadikan amalan menjaga bumi sebagai sebahagian daripada gaya hidup harian, selaras dengan aspirasi ‘Pengakap Membina Dunia yang Lebih Baik.’

    Acara diteruskan dengan penyampaian Skaf Messengers of Peace (MOP) kepada tetamu kehormat dan Skipper Mohammed Sufri @Bohari yang disempurnakan oleh Skip Ritchie bin Siabu selaku Koordinator MOP.

    Selepas itu majlis diteruskan dengan penyampaian Skaf MOP kepada beberapa orang penerima, dan penyampaian sijil-sijil penghargaan sempena Hari Keamanan Antarabangsa serta Sijil Penyertaan Perhimpunan Agung Pengakap Johor kali ke-27, 2025.

    Majlis turut diserikan dengan sesi bergambar ramai.

    Tetamu kehormat kemudiannya berkesempatan menyaksikan pameran mini Hari Skaf Sedunia, sejarah dan perkembangan PPNBD dan lencana-lencana pengakap serta pameran ikatan dan simpulan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda