Monday, May 12, 2025
29.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Acara teknologi kembali Ogos ini

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MEI – Setelah tertangguh sejak edisi terakhir pada tahun 2019, acara teknologi terbesar negara, TechXpo akan kembali mewarnai kalendar inovasi Brunei dengan penganjuran edisi ke-7 yang dijadualkan berlangsung pada 14 hingga 16 Ogos bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.

    Dengan tema Innovate Tomorrow, TechXpo 2025 menampilkan visi masa depan yang progresif, sekali gus memperkukuhkan peranannya sebagai platform nasional utama dalam mempromosikan kemajuan teknologi serta menyokong aspirasi negara ke arah masyarakat celik digital dan sebuah negara pintar selaras dengan Wawasan Brunei 2035.

    Sebagai simbolik pemeteraian kerjasama penganjuran, majlis menandatangani perjanjian dan sidang media telah diadakan pagi tadi melibatkan InfoCom Federation Brunei (IFB) dan D’Sunlit Sdn Bhd, di mana penandatanganan perjanjian telah disempurnakan oleh Pengerusi IFB, Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Abdul Latiff, dan Ketua Komunikasi Korporat D’Sunlit Sdn Bhd, Ting Chui San.

    TechXpo 2025 dianjurkan bersama oleh IFB, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang mewakili industri ICT negara, manakala D’Sunlit Sdn Bhd pula dilantik secara rasmi sebagai pengurus acara.

    Dalam sidang media yang diadakan, pihak penganjur turut berkongsi objektif, hala tuju dan sorotan utama acara, termasuk tumpuan kepada kecerdasan buatan (AI), teknologi kewangan (FinTech), penyelesaian Negara Pintar dan pelbagai inovasi digital yang menyokong keterhubungan, kecekapan serta pembangunan mampan.

    Sejak penganjuran sulungnya pada 2010, TechXpo telah menjadi platform strategik yang menghimpunkan agensi kerajaan, pemain industri, institusi akademik serta orang awam dalam satu ruang interaktif untuk berkongsi dan menjana penyelesaian inovatif. Edisi kali ini dijangka lebih dinamik dengan pendekatan holistik bagi menyokong transformasi digital negara dan pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan.

    Selain pameran utama, acara juga akan menampilkan seminar khas, siri ceramah industri serta bengkel profesional yang dikendalikan oleh tokoh-tokoh berpengalaman dari dalam dan luar negara, dalam usaha menyemai budaya pembelajaran dan membuka ruang dialog inovatif serta pelaburan teknologi.

    Turut berlangsung serentak ialah BIMP-EAGA ICT CEO Forum dan BIMP-EAGA ICT Cluster Meeting yang akan menghimpunkan pegawai kanan kerajaan, eksekutif industri dan profesional ICT dari Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA). Forum tersebut bertujuan memperkukuh kerjasama serantau dalam teknologi digital menerusi pertukaran pengetahuan, peluasan penyelesaian dan diplomasi inovasi.

    Sesi pertukaran dokumen perjanjian antara D’Sunlit Sdn Bhd dengan InfoCom Federation Brunei (IFB). –GAMBAR SERAHAN MUIZ MATDANI
    Majlis menandatangani perjanjian TechXpo edisi Ke-7 diantara D’Sunlit Sdn Bhd dengan InfoCom Federation Brunei (IFB). – GAMBAR SERAHAN MUIZ MATDANI
    GAMBAR SERAHAN MUIZ MATDANI
    GAMBAR SERAHAN MUIZ MATDANI
    Bergambar ramai. – GAMBAR SERAHAN MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda