Sunday, October 6, 2024
30.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Acara Walkathon masjid semarakkan sambutan Hijrah

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JULAI – Sempena Menyambut Tahun Baru Hijrah 1446, Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Mukim Kilanas menganjurkan Acara Walkathon bagi masjid-masjid di bawah kawalan Mukim Kilanas hari ini.

    Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Dan Menteri Pertahanan II, Negara Brunei Darussalam.

    Hadir bersama ialah Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin, Ahli Mesyuarat Negara, Penghulu Mukim Lumapas.

    Tujuan utama acara ini adalah bagi menyemarakkan lagi kedatangan tahun Hijrah 1446 dan Memberi peluang kepada jemaah dan penduduk kampung untuk beriadah dengan berjalan kaki secara berjemaah yang merupakan sunnah Baginda Rasullah SAW dan mewujudkan semangat kesepakatan untuk bekerjasama antara penduduk-penduduk Mukim Kilanas.

    Acara Walkathon ini adalah yang julung kalinya bagi Mukim Kilanas yang melibatkan kesemua masjid-masjid yang ada di dalam Mukim Kilanas iaitu Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit (DRIPAD) Mukim Kilanas, Masjid Kampung Kilanas, Masjid Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah Kampung Jangsak, Masjid Kampung Bunut, Masjid Ar – Rahman Kampung Tanjung Bunut dan Masjid Kampung Bengkurong.

    Acara walkathon yang disertai oleh para jemaah dan penduduk Kampung bermula dari masjid kampung masing-masing dan menuju ke Masjid DRIPAD Mukim Kilanas.

    Selain itu, para jemaah muslimah dari masjid-masjid Mukim Kilanas juga turut serta menyemarakkan acara ini dengan membuat aktiviti keugamaan di dalam Masjid DRIPAD, Mukim Kilanas iaitu melaungkan bacaan Asma Alhusna, Selawat Tafrijiyyah dan zikir.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi (tengah) bersama para peserta memulakan acara walkathon berkenaan.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda